Thursday, March 10, 2011

Hattan fail pembelaan tuntutan mutaah, nafkah idah

Utusan Malaysia


PETALING JAYA 9 Mac - Penyanyi Hattan hari ini memfailkan pembelaannya terhadap tuntutan mutaah dan nafkah idah yang dikemukakan oleh bekas isterinya, Arianie Mohd. Abidin di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Hattan juga memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan salinan pembelaan tersebut kepada peguam syarie Hazirah Othman @ Man yang mewakili Arianie.
Roshdan yang turut dibantu oleh peguam Mohd. Faiz Adnan kemudian memohon tarikh perbicaraan bagi kedua-dua kes tersebut.
Hakim Syarie Ghazali Ahmad bagaimanapun tidak menetapkan tarikh perbicaraan memandangkan akan berlaku pertukaran hakim.
Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 20 April ini.
Sementara itu, Hazirah pula memaklumkan, pihaknya akan menjawab pembelaan oleh pihak defendan pada tarikh akan datang.
Pada prosiding hari ini, kedua-dua plaintif dan defendan tidak hadir kerana mendapat pengecualian daripada mahkamah.
Arianie, 39, membuat tuntutan tersebut terhadap Hattan atau nama sebenarnya, Mohd. Sukri Shahbuddin, 45, mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Pasangan tersebut bernikah pada 17 Disember 1996 dan disahkan bercerai dengan talak satu pada 10 Mac 2005.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Adam Eiman kini berusia 14 tahun dan dijaga oleh Hattan.

No comments:

Post a Comment