Thursday, March 24, 2011

Johari dakwa diumpan habuan lompat parti





PETALING JAYA – Ahli Parlimen Sungai Petani dari PKR, Datuk Johari Abdul mendakwa beliau ditawarkan sejumlah wang dan jaminan keselamatan sekiranya ’lompat parti’ dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Malah beliau Ahli Parlimen pertama ditunjukkan video aksi seks yang memaparkan lelaki mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai umpan untuk menyertai BN.

Beliau berkata, individu yang terlibat ialah seorang ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik,

Johari berkata, beliau telah ditunjukkan video itu Isnin lalu dan ditawarkan untuk dibawa bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka menawarkan saya jaminan kewangan dan keselamatan. Mereka jelaskan bahawa saya adalah Ahli Parlimen pertama yang menonton video ini.

"Jika saya bersetuju, mereka boleh aturkan perjumpaan saya dengan Perdana Menteri, tetapi saya tidak berkata apa-apa pada waktu itu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution.

Johari berkata, Abdul Rahim kemudiannya memintanya membawa lebih banyak Ahli Parlimen pembangkang untuk menonton video tersebut.

Menurutnya, beliau mengetahui Shazryl adalah ’Datuk T’ petang Isnin lalu, selepas beliau bersama bapa saudaranya yang dipanggil ‘pakcik’ dibawa ke Hotel Flamingo bertemu kedua-dua individu itu.

Katanya, di hotel tersebut, Shazryl menunjukkan rakaman video seks kepadanya, yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi pembangkang untuk memujuknya keluar parti serta memintanya membawa beberapa pemimpin PKR lain lagi menonton video terbabit.

Katanya, beliau menolak sekeras-kerasnya bahawa lelaki yang di dalam video itu adalah Anwar, kerana terlalu banyak kemusykilan.

"Contohnya tidak mungkin Anwar tidak menyedari pergerakan di bilik tersebut dirakam kerana alat rakaman tersebut dipasang dari empat arah," katanya.

Menurutnya, rakaman tersebut tidak memfokuskan muka dengan dekat, kecuali menampakkan orang yang seakan-akan Anwar, namun bentuk badan terutamanya perut, bahu dan punggung tidak sama dengan pemimpin pembangkang terbabit.

“Demi Allah saya katakan bahawa saya yakin lelaki dalam video itu bukanlah Anwar,” katanya.

Beliau berkata, keadaan bilik hotel dalam video tersebut seolah-olah seperti zaman British kerana unit penghawa dingin yang tidak dipusatkan selain katil yang amat ‘cikai’.

“Susah hendak melihat hotel sebegitu lagi di Malaysia, lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur. Ia mungkin banyak di negara jiran,” katanya.

Menurutnya, beliau bersedia membawa beberapa Ahli Parlimen PKR untuk menonton video tersebut dan bertemu Rahim, bagaimanapun perjumpaan telah dibatalkan.

Sementara Saifuddin berkata, adalah jelas itulah rancangan mereka untuk menunjukkan video tersebut kepada Ahli Parlimen PKR bagi menimbul keraguan dan membuat tawaran membeli mereka.

No comments:

Post a Comment