Saturday, March 19, 2011

Suri rumah berpenyakit misteri mohon bantuan orang ramai





2011/03/19

SUNGAI PETANI: Seorang suri rumah yang menghidap penyakit misteri hari ini memohon bantuan dan simpati orang ramai demi masa depan tiga anaknya yang masih bersekolah. 

Penderitaan Saadiraon Sainon, 42, dari Kampung Padang Buluh, Mukim Sidam Kiri, dekat sini seperti tiada kesudahannya kerana setelah diserang sejenis penyakit saraf sejak lima tahun lalu, suaminya pula, Tajuddin Shafie, 46, diserang angin ahmar Januari lalu.
Penyakit misteri yang dihidapi Saadiaron ada kalanya menyebab beliau menangis akibat tidak tahan menanggung kesakitan. Penyakit yang dideritainya menyebabkan dia tidak mampu menguruskan keluarga kerana tidak dapat bergerak.
Dia kini perlu bergantung kepada tangki oksigen sepanjang masa kerana tidak boleh bernafas seperti biasa. 

Penderitaan keluarga itu semakin teruk apabila Tajuddin, yang menjadi tempat bergantung harap pula diserang angin ahmar dan kini lumpuh separuh badan. 

Saadiaron berkata, dia diserang penyakit itu secara tiba-tiba sekitar 2006 ketika sedang mengemas rumah. 

"Pada mulanya saya mengalami sesak nafas dan badan terus kejang. Selepas itu, pengsan dan terpaksa dihantar ke hospital untuk dapatkan rawatan lanjut. Tidak lama selepas itu, keadaan lebih teruk dengan sakit sendi dan terus terketar-ketar seluruh badan serta tidak boleh bernafas seperti biasa," katanya kepada pemberita ketika kunjungan Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd Yusof, di sini. 
Saadiaron berkata, suaminya kini tidak boleh bercakap dan terpaksa berhenti kerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sidam Kiri dan keluarga itu kini hanya bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM140 sebulan. 

"Setiap bulan saya dan suami perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital," katanya. 

Berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya dan suami, Saadiaron bimbang mengenai masa depan anak-anaknya iaitu Nor Amira Syamimi, 15, Mohd Amirul, 14, dan Noranatasya, 11, yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinang Tunggal dan SK Sidam Kiri. 

Sementara itu, Shahanim yang Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani merayu orang ramai khususnya syarikat swasta dan kalangan korporat agar menghulurkan sumbangan meringankan beban keluarga Saadiaron. 

"Saya berharap kes ini dapat dipanjangkan kepada pakar neurologi atau penyakit berkaitan saraf untuk tindakan lanjut," katanya. 

Selain itu, katanya, Puteri UMNO juga akan berbincang dengan JKM untuk menimbang bantuan tambahan. 

Orang ramai yang ingin membantu Saadiaron sekeluarga boleh mengunjungi mereka di No. 62, Kampung Padang Buluh, Mukim Sidam Kiri, dekat sini atau menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Azmi Mohamad di talian 017-4289675. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment