Friday, April 1, 2011

30 peniaga buat laporan SPRM




MOHD. Zaman Yusoff (kiri) bersama peniaga Pasar Lama MPKB membuat aduan di Ibu Pejabat SPRM Kelantan, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/ROSNI MASRI


KOTA BHARU 31 Mac – Kira-kira 30 peniaga Pasar Lama MPKB membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan dibuat berhubung transaksi wang bernilai RM44.8 juta membabitkan urusan jual beli pasar itu, Bazar Tengku Anis dan Bazar Tok Guru.
Peniaga terbabit mendakwa, transaksi tersebut menimbulkan tanda tanya memandangkan kerajaan Pas Kelantan dikatakan telah menjual Pasar Lama MPKB dengan nilai RM3.8 juta kepada sebuah syarikat swasta dan pada masa sama membeli tingkat satu Bazar Tengku Anis dengan harga terlalu tinggi iaitu RM18 juta untuk menempatkan mereka di situ.
Mohd. Zaman Yusoff yang mengetuai kumpulan peniaga terbabit berkata, Bazar Tok Guru yang asalnya dibangunkan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) tetapi akhirnya terpaksa dibeli balik daripada pemaju swasta dengan jumlah RM23 juta juga perlu disiasat.
“Kami mahu tahu kenapa kerajaan Pas Kelantan jual Pasar Lama MPKB tapi beli Bazar Tengku Anis dengan harga sangat tinggi untuk tempatkan peniaga yang asalnya berniaga di Pasar Lama MPKB.
“Lepas itu tanpa pasal-pasal boleh pula beli Bazar Tok Guru berharga RM23 juta, sedangkan asalnya memang milik kerajaan Pas Kelantan. Kenapa perlu beli balik,” tegasnya ketika ditemui di pekarangan pejabat SPRM Kelantan di sini, hari ini.
Polemik membabitkan para peniaga Pasar Lama MPKB dan kerajaan Pas Kelantan berhubung isu Bazar Tok Guru merupakan masalah yang telah tercetus sejak dua tahun lalu ekoran kelemahan kerajaan negeri.
Pembinaan bazar itu paling menarik tumpuan apabila Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mengakui bahawa kerajaan Pas Kelantan telah melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam pembinaannya.
Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata, pihaknya terpaksa menebus balik bangunan yang sebelum ini diserahkan kepada PMBK, diserahkan pula kepada sebuah syarikat swasta untuk dibangunkan. Kerugian dikatakan kira-kira RM50 juta.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Kelantan, Che Aziz Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut pukul 10.53 pagi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment