Friday, April 29, 2011

Anwar dicabar bersumpah laknat



MASJID Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur akan menjadi tempat Shazryl melakukan sumpah laknat hari ini.


KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah iaitu salah seorang trio Datuk T menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama melafazkan sumpah laknat berhubung rakaman video seks membabitkan seorang lelaki didakwa mirip pemimpin pembangkang di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul di sini selepas solat Jumaat hari ini.
Dua lagi trio itu, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim turut menunggu kehadiran Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu di masjid berkenaan.
Sumpah laknat itu akan dilakukan oleh Shazryl dan beliau turut mewakili Rahim dan Shuib dalam melakukan sumpah laknat itu.
Jika Anwar tidak hadir, Shazryl yang mengaku mengenali Anwar secara peribadi akan melakukan sumpah laknat itu tanpa Anwar.
Shazryl berkata, beliau mahu melakukan sumpah laknat itu bagi membuktikan dakwaannya bahawa Anwar merupakan pelaku lelaki dalam video seks yang dibongkar pada 21 Mac lalu.
“Saya juga mempelawa semua pihak yang meragui kebenaran ini untuk hadir menyaksikan sumpah itu nanti.
“Saya menadah tangan ke hadrat Ilahi supaya membuka hati Anwar Ibrahim agar dapat bertaubat, insaf dan kembali ke pangkal jalan,” kata Shazryl pada sidang akhbar di Hotel Impiana di sini semalam.
Beliau berani bersumpah bahawa pelaku dalam video seks itu adalah Anwar kerana beliau sendiri berada di lokasi rakaman tersebut dan juga berada dalam rakaman berkenaan. Turut bersama Shazryl pada sidang akhbar itu ialah Rahim dan Shuib.

No comments:

Post a Comment