Thursday, April 28, 2011

Dalai Lama berundur memimpin Tibet

DHARAMSHALA, India 27 April - Pakar undang-undang lulusan Universiti Harvard, Lobsang Sangay akan mengetuai kerajaan Tibet dalam buangan hari ini, menggantikan pemimpin keagamaan terkenal, Dalai Lama.
Pemilihan itu, sekali gus membawa maksud beliau akan menyambung tugas politik sukar yang sebelum ini disandang oleh Dalai Lama.
Menurut Pesuruhjaya Pilihan Raya, Jamphel Choesang, Sangay, 43, menewaskan dua calon lain bagi jawatan Perdana Menteri dengan memperolehi 55 peratus undi yang diumumkan di ibu pejabat kerajaan dalam buangan di Dharamshala, utara India.
Dilahirkan di sebuah ladang teh di timur laut India, cendekiawan itu tidak pernah tinggal, menjejakkan kaki atau mewakili Tibet yang menyaksikan pemimpin keagamaan lebih tua mendominasi pergerakan politik dalam buangan Tibet.
Pelantikannya juga menandakan satu titik perubahan selepas Dalai Lama pada bulan lalu secara rasmi mengundur diri sebagai pemimpin politik kerajaan Tibet dalam buangan.
Walaupun Dalai Lama akan meneruskan peranannya sebagai pemimpin keagamaan Tibet, peralihan kuasa tersebut menjadikan Sangay jauh lebih terkenal berbanding pemimpin sebelumnya.
Sangay sebelum ini berkata, beliau akan berpindah dari Boston ke Dharmsala sekiranya memenangi pilihan raya tersebut.
Masih belum jelas bilakah beliau akan mengangkat sumpah jawatan.
"Daripada satu segi lain, kita mempunyai Dalai Lama yang terbukti memiliki kelayakan serta popular di seluruh dunia.
"Kita juga mempunyai satu kerajaan demokratik yang berfungsi di dalam buangan. Kita menunjukkan kepada China bahawa jika kita dibenarkan memilih, kita mampu membentuk sebuah kerajaan demokratik," kata Sangay dalam satu wawancara bersama Associated Presspada bulan lalu. - AFP/AP, utusan

No comments:

Post a Comment