Saturday, April 2, 2011

‘Ini hukuman paling wajar’


BERSALAH...Mustafa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.
BERSALAH...Mustafa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.

SEREMBAN: “Ini adalah hukuman paling wajar dan tidak boleh diringankan kerana kesalahan adalah amat serius apatah lagi membabitkan kepentingan awam,” kata Hakim Amran Jantan.
Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustafa Salim, 53, yang didapati bersalah atas tuduhan menerima rasuah berkaitan surat sokongan penjualan pasir, tiga tahun lalu.

Terdahulu, tertuduh yang memakai sut hitam dan kemeja putih hanya kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan mahkamah.

Amran dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak boleh memberi hukuman lebih ringan berikutan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

“Hukuman ini sesuai bagi kesalahan dilakukan tertuduh. Jika hukuman ringan dikenakan, maka ia akan memberi gambaran salah kepada masyarakat seolah-olah mahkamah tidak memandang serius kes seumpama itu.

“Selain itu, matlamat kerajaan untuk memerangi rasuah seperti terkandung dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga tidak akan dicapai,” katanya.


Mengikut pertuduhan, Mustafa yang juga bekas guru didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada M Manimaran, 38, sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan berkaitan penjualan pasir di sebuah restoran di Taman Bunga Raya 2, Mantin, Seremban, kira-kira jam 5 petang, 28 Ogos 2008.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Amran bagaimanapun membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan dan Mustafa diarah membayar denda RM20,000 dan wang jaminan RM10,000 pada Isnin depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Penguasa Kanan Jasmi Buang dan Fieza Fazlin Fandi, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Taqiyuddin Yahya.

Sementara itu, Mustafa yang dikerumuni wakil media sejurus keluar dari mahkamah hanya berkata dia akan membuat rayuan.

No comments:

Post a Comment