Friday, April 22, 2011

Sebak lihat anak terlantar



SUNGAI YAN - Siapa sangka akibat demam campak seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun terpaksa terbaring seumur hidupnya setelah menghidapi penyakit kronik.

Siti Hajar Mohamad Hanafi kini hanya mampu terbaring sejak umur dua tahun.

Ibunya, Norazlina Ab Ghani, 34, berkata, anak sulungnya dilahirkan normal sehinggalah terkena demam campak ketika berusia 1 tahun.

“Makin lama tubuh Siti Hajar semakin lemah dan segala anggota tubuhnya menjadi kejang. Setelah kami membawanya ke hospital untuk menjalankan fisioterapi selama satu tahun, akhirnya doktor memberitahu dia tidak menunjukkan sebarang tindak balas yang positif,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pada 25 Januari lalu, anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah selama seminggu.

“Doktor terpaksa memasukkan tiup ke dalam hidungnya bagi memudahkan dia makan dan minum.

“Dia hanya minum susu dan bubur nasi, harga satu tin susu ialah RM130 dan sebulan, kami terpaksa membeli satu tin besar ditambah lagi satu tin kecil yang hanya bertahan selama sebulan,” katanya.

Norazlina berkata, sebelum ini suaminya, Mohamad Hanafi Abdullah, 35, pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Dia juga berkata, dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah, tidak dapat menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Hanya suami saya seorang yang bekerja untuk menyara hidup kami sekeluarga dan pendapatannya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga, memandangkan kos pengurusan Siti Hajar sahaja mencecah RM250 sebulan termasuk lampin.

“Hati ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat anaknya hanya mampu terbaring tanpa melakukan sebarang pergerakan seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya,” katanya.

Turut sama hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang menyampaikan sumbangan kepada keluarga Mohamad Hanafi bagi meringankan beban mereka.

No comments:

Post a Comment