Tuesday, May 24, 2011

AS kesal Presiden Yaman langgar lagi perjanjian letak jawatan

WASHINGTON: Amerika Syarikat melahirkan rasa kesal atas tindakan Presiden Yaman, Encik Ali Abdullah Saleh, mengetepikan lagi perjanjian meletak jawatan.

Mengulas tindakan Encik Saleh, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, berkata:

'Kami menggesa beliau agar segera mengotakan komitmen beliau akan memindahkan kuasa secara aman dan teratur dan memastikan kehendak rakyat Yaman yang sah dipenuhi. Masa untuk bertindak ialah sekarang.'

Kelmarin, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menggantung usahanya bertindak sebagai perantara bagi menyelesaikan krisis politik Yemen selepas Encik Saleh enggan menandatangani perjanjian itu.

Perjanjian itu membolehkan beliau berundur dalam tempoh 30 hari dan diberi imuniti daripada didakwa.

Ini kali ketiga beliau menarik diri daripada menandatangani perjanjian itu pada minit-minit terakhir.

'Amerika Syarikat sangat kesal oleh keengganan berterusan Presiden Saleh menandatangani inisiatif Majlis Kerjasama Teluk,' kata Cik Clinton.

Di ibu kota Sanaa kelmarin, para penyokong Encik Saleh berhimpun menentang perjanjian itu.

'Kami menolak tindakan menandatangani inisiatif Teluk dan penggulingan kuasa ke atas (pemerintah) yang sah,' sorak mereka.

Pada masa sama, penunjuk perasaan anti-pemerintah berhimpun di bandar raya itu menggesa Encik Saleh berundur dengan segera.

Mereka mengugut akan mempertingkat bantahan mereka dengan berarak menuju bangunan- bangunan pemerintah.

Pembangkang mendakwa lebih 170 orang terbunuh akibat tindakan pasukan keselamatan sejak awal Januari lalu.

Dalam pada itu, Cik Clinton turut mengecam tindakan penyokong bersenjata Encik Saleh mengepung kedutaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Sanaa, menyebabkan Duta Amerika, Encik Gerald Feierstein, dan para diplomat asing lain terperangkap, kelmarin.

Mereka bagaimanapun telah dapat dibawa keluar menggunakan helikopter. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment