Saturday, May 7, 2011

Kesal 6 nelayan didakwa



Oleh Veena Rusli di Jakarta
bhnews@bharian.com.my
2011/05/07

Isu boleh dibincang berpaksikan semangat kejiranan: Anifah 

MALAYSIA kesal kerana enam nelayannya yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di perairan sempadan kedua-dua negara dirujuk terus ke muka pengadilan negara itu sedangkan isu itu boleh dibincang terlebih dulu berpaksikan semangat kejiranan.
Sambil menegaskan Malaysia menghormati undang-undang negara asing, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata hakikat nelayan berkenaan hanya menangkap ikan untuk mencari nafkah tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman besar sehingga perlu dibawa ke mahkamah dengan segera.
“Kita faham jika ia membabitkan soal ancaman keselamatan seperti lanun atau unsur subversif tetapi dalam kes ini mereka cuma nelayan yang tidak menyedari batas sempadan perairan. Malah, kawasan dimasuki juga dikatakan berada dalam koordinat milik Malaysia. 

“Kalau nelayan Malaysia dihukum dengan keras hanya kerana menceroboh ketika menangkap ikan, apakah Indonesia bersedia menerima hakikat jika kita menghukum nelayannya yang memasuki perairan Malaysia tanpa izin? 

“Isu ini tidak akan ada kesudahannya kalau cara itu diguna pakai. Kita tidak boleh salahkan rakyat jika meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara kes ini ditangani,” katanya kepada media Malaysia selepas Mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di sini, malam tadi. 

Kelmarin, Mahkamah Bengkalis menjatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan dan denda RM350,000 atau tambahan tiga bulan penjara setiap seorang terhadap enam nelayan Malaysia selepas didapati bersalah memasuki perairan negara itu ketika menangkap ikan pada 8 Mac lalu. Rayuan sudah dikemukakan sebaik hukuman dijatuhkan. 
Nelayan terbabit adalah tekong bot berkenaan, Ibrahim Mohd Kassim dan awak-awak, Redzuan Ariss, 35; Mohamad Zamri Hamzah, 26; Zainudin Hamzah, 53; Rosli Abd Rashid, 34, dan Jamil Mat Top, 53. Seorang warga Indonesia, Subani Samsudin, 40; turut ditahan dan dikenakan hukuman sama. 

Pada 8 Mac lalu, pihak berkuasa Indonesia menahan dua kapal nelayan Malaysia didakwa memasuki 12 batu nautika dari Tanjung Kedabu. 

Mengulas lanjut, Anifah berkata, isu mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sudah dibincang dengan rakan sejawatannya, Dr Marty Natalegawa, 6 September lalu. 

No comments:

Post a Comment