Tuesday, May 3, 2011

Osama bin Laden terkorban



DUA wajah Osama semasa hidup (kiri) dan selepas terbunuh dalam serangan ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS) di bandar Abbottabat, utara Islamabad. Bagaimanapun gambar kecederaan Osama itu diragui oleh banyak pihak.


WASHINGTON 2 Mei – Pemimpin rangkaian al-Qaeda, Osama bin Laden maut dalam satu operasi ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS) di Pakistan, sekali gus menamatkan pemburuan selama 10 tahun yang dilancarkan AS terhadap perancang serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001.
Presiden AS, Barack Obama dalam satu pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut berkata, Osama terbunuh dalam satu serangan tentera AS di bandar Abbottabat, kira-kira 100 kilometer di utara Islamabad.
Beliau berkata, turut maut dalam operasi selama 40 minit diketuai Agensi Perisikan Pusat (CIA) itu ialah tiga lelaki termasuk seorang anak lelakinya dan seorang wanita.
“Keadilan telah ditegakkan,” kata Obama lewat malam tadi di White House, sambil menambah kata, jenazah ketua al-Qaeda itu kini berada dalam simpanan AS dan akan disemadikan mengikut hukum Islam.
Kematian pemimpin al-Qaeda itu turut disahkan Pengarah Risikan Antara Perkhidmatan Pakistan (ISI), Leftenan Jeneral Ahmad Shuja Pasha.
Seorang anggota al-Qaeda di Yemen yang dihubungi menerusi telefon turut mengesahkan ketua rangkaian militan itu terbunuh dan menyifatkannya sebagai ‘malapetaka’.
Beberapa jam selepas pengumuman mengenai kematian Osama dibuat, AS segera mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya di seluruh dunia dengan menyatakan satu keganasan anti-AS mungkin tercetus.
“Jabatan Negara AS memberi amaran kepada rakyat negara ini yang berada di luar negara supaya berjaga-jaga terhadap sebarang keganasan yang mungkin berlaku,” kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan.
Rangkaian televisyen terbesar Pakistan, Geo turut menyiarkan satu rakaman imej muka Osama yang berlumuran darah, tetapi ia masih belum disahkan. – AFP/AP/Reuters

No comments:

Post a Comment