Friday, May 27, 2011

'Terharu dengar jeritan mangsa'


Pasukan penyelamat cerita detik misi selamatkan anak yatim tertimbus


SHAH ALAM: "Saya berasa sungguh sayu dan sedih mendengar jeritan anak yatim meminta tolong ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, baru-baru ini," kata Penolong Penguasa Bomba, Sharizal Sahari.
Beliau yang mewakili Pasukan Operasi Khas Mencari dan Menyelamat Malaysia (STORM), antara terawal tiba di tempat kejadian berkata, beliau melihat sendiri keadaan setiap mangsa yang tersepit di sebalik runtuhan tanah di kawasan itu.
“Apabila berdepan situasi seperti ini, perkara pertama yang perlu diberi fokus ialah cara mengawal keadaan di tempat kejadian dengan menstabilkan kawasan runtuhan terlebih dulu.

“Kami perlu bertindak cepat memberi bantuan perubatan kepada mangsa yang masih hidup kerana keadaan mereka sangat lemah ketika itu.

“Perasaan bercampur-baur ketika menjalankan tugas di sebalik kesungguhan menyelamatkan mangsa tanah runtuh dan saya sempat berkomunikasi dengan seorang mangsa, Izzuddin Abdullah.

“Dia (Izzuddin) kemudian berjaya diselamatkan selepas runtuhan yang menimpa dirinya dapat dialihkan,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balai Bomba dan Penyelamat Selangor, di sini, semalam.
Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat, Mohd Fadhil Md Ruday pula berkata, pengalamannya yang tidak mungkin dapat dilupakannya ialah ketika mengusung jenazah mangsa untuk dibawa keluar.

“Saya sedih melihat keadaan anak yatim yang terkorban dalam kejadian itu, tetapi saya seperti anggota penyelamat lain sudah dilatih bekerja secara profesional dan mahu atau tidak kami harus meneruskan kerja menyelamat.

“Ketika kejadian, saya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan lapan jenazah mangsa runtuhan,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas, Klang.

Sebanyak 50 agensi yang terbabit dalam operasi menyelamat kejadian tanah runtuh itu menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) disampaikan Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Bercakap pada majlis itu, Wan Mohd Nor berkata, majlis itu diadakan sebagai tanda terima kasih kepada pasukan penyelamat dan petugas media yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh itu.

“Walaupun jumlah kematian seramai 16 orang, kita berjaya menyelamatkan sembilan yang lain dan masa 14 jam yang diambil itu juga adalah satu rekod.

“Ada juga pihak mencadangkan supaya operasi menyelamat dihentikan sementara pada jam 3 pagi dan disambung semula keesokan harinya, tetapi pasukan penyelamat tetap meneruskan operasi sehingga mangsa terakhir ditemui pada jam 5.04 pagi,” katanya.

Antara agensi yang menerima penghargaan ialah Jabatan Pertahanan Awam Selangor, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART), Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Hospital Ampang.
Berita Harian Online | 'Terharu dengar jeritan mangsa'

No comments:

Post a Comment