Saturday, May 21, 2011

Waris Alice Shan Zhong dicari



Alice Shan Zhong


KUCHING 20 Mei - Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian (JKMB) Kuching meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu atau waris kepada kanak- kanak bernama Alice Shan Zhong, 3, yang diserahkan kepada seorang wanita untuk dijaga tiga tahun lalu.
Pihak jabatan dalam satu kenyataan memberitahu, usaha mencari ibu kandung dilakukan penjaganya, Tee Lee Jung sejak 2008 gagal sehingga menyukarkan urusan pendaftaran sijil kelahiran dan proses mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat.
“Pada 19 Februari 2008, Alice diserahkan oleh ibu kandungnya yang dikenali sebagai Christina kepada Lee Jung sebelum menghilangkan diri sehingga kini. Ketika itu, kanak-kanak berkenaan baru berusia tiga hari.
“Christina, gadis berbangsa Iban dipercayai berasal dari Betong dan pernah bekerja sebagai pembantu rumah kepada jiran Lee Jung di Tabuan Jaya, Kuching,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kegagalan menemui Christina menyebabkan JKMB Kuching mengemukakan kes tersebut kepada Majistret Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Kuching untuk mendapatkan Perintah Jagaan Sementara mengikut Seksyen 17(1d) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pada 10 Mei lalu, MBKK mengeluarkan perintah agar Alice ditempatkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai iaitu Lee Jung sehingga pihak kami dapat menyediakan satu laporan pelindung berkaitan Alice,” katanya.
Orang ramai yang mengenali ibu atau waris Alice diminta menghubungi Pegawai JKMB Kuching, Azlina Mohd. Salleh di talian 082-444251 atau 082-448534.

No comments:

Post a Comment