Saturday, June 25, 2011

152,000pelajar bakal ditamatkan pinjaman PTPN

MARAN 24 Jun - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menghentikan pemberian pinjaman kepada kira-kira 152,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) berikutan keputusan peperiksaan semester mereka di bawah 2.0 mengikut Purata Nilai Gred (PNG).

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, nilai pinjaman tersebut membabitkan sebanyak RM632 juta.

"Mereka sebelum ini merupakan pelajar terbaik yang maju dalam pelajaran, tetapi atas sebab tertentu, pembelajaran mereka semakin merosot dan keputusan peperiksaan semester dua gagal mencapai 2.0 mengikut PNG.

"Bagaimanapun, jika mereka berjaya mendapat keputusan PNG 2.0 ke atas dalam peperiksaan semester berikutnya, pinjaman itu akan disambung semula," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan wang pendahuluan pembiayaan pinjaman untuk 100 pelajar dalam Parlimen Kuala Krau yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke politeknik di sini, hari ini.

Menurut Ismail, PTPTN tidak akan teragak-agak memberhentikan terus pinjaman tersebut jika prestasi pelajar-pelajar itu masih mengecewakan dalam peperiksaan semester yang berikutnya.

Sementara itu katanya, PTPTN memperuntukkan pinjaman sebanyak RM38.69 juta kepada seramai 1.75 juta pelajar yang menuntut di IPT pada tahun ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, PTPTN telah melupuskan pinjaman sebanyak RM277.99 juta kepada seramai 9,545 pelajar yang berjaya mendapat ijazah kelas pertama pada tahun lalu.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment