Sunday, June 26, 2011

4 pemimpin Khmer Rouge akan dibicara

Hadapi pelbagai tuduhan dan disifatkan kes paling rumit di dunia
PHNOM PENH: Empat pemimpin utama rejim Khmer Rouge dijadual dibicarakan esok di tribunal perang yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tuduhan melakukan penghapusan kaum.

Kes itu disifatkan yang paling rumit di dunia dalam tempoh berdekad.

Empat yang bakal dibicarakan ialah bekas presiden Khieu Samphan, 80 tahun; bekas menteri luar, Ieng Sary, 85 tahun; bekas menteri ehwal sosial, Ieng Thirith, 79 tahun; dan Nuon Chea, 85 tahun, pemimpin kedua paling kanan Khmer Rouge.

Mereka berdepan dengan pelbagai tuduhan termasuk penghapusan kaum, jenayah ke atas kemanusiaan dan jenayah perang melibatkan kematian sehingga dua juta rakyat Kemboja ekoran kebuluran, penderaan dan pembunuhan semasa pemerintahan rejim itu antara 1975 dengan 1979.

Perbicaraan mereka berlangsung selepas ketua penjara Khmer Rouge, Kaing Guek Eav, yang lebih dikenali sebagai Duch, dihukum penjara 19 tahun pada tahun lalu kerana menyebabkan kematian 14,000 orang di Penjara Tuol Sleng di Phnom Penh.

Keempat-empat yang tertuduh telah menafikan dakwaan itu.

'Ini merupakan perbicaraan paling penting yang akan didengar oleh mahkamah ini.

'Tiada kes yang serumit dan sebesar ini sejak Nuremberg,' kata pendakwa raya antarabangsa, Encik Andrew Cayley, yang merujuk kepada perbicaraan Nazi selepas Perang Dunia Kedua.

Perbicaraan awal dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula esok.

Tuduhan berkaitan penghapusan kaum tertumpu secara khusus kepada pembunuhan rakyat Vietnam dan penduduk Islam Cham.

Kenyataan penuh daripada empat orang yang tertuduh dijangka hanya akan berlangsung seawal Ogos ini.

'Para pemimpin ini tidak akan mengaku salah. Mereka akan terus ingkar dan enggan bekerjasama,' kata seorang penasihat undang-undang kepada Pusat Dokumentasi Kemboja, Cik Anne Heindel.

Kesihatan mereka juga merupakan isu penting memandangkan tidak diketahui siapa di antara mereka yang dapat hidup lama sebelum hukuman mereka dijatuhkan.

Pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot, telah meninggal dunia pada 1998.

Meskipun demikian, ramai penduduk Kemboja yang terselamat daripada kekejaman rejim itu, berharap perbicaraan tersebut akan dapat memberikan jawapan yang mereka nanti-nantikan selama ini.

'Persoalan utama ialah 'kenapa'. Kenapa orang Kemboja sanggup membunuh satu sama lain?' kata Encik Theary Seng, yang kehilangan ibu bapanya semasa rejim itu. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment