Friday, June 24, 2011

Jakarta sekat amah ke Saudi

JAKARTA: Indonesia yang dikecam dari luar kerana melaksanakan hukuman mati, semalam mengambil keputusan melarang warganya bekerja di Arab Saudi selepas seorang pembantu rumah rakyat negara itu dipancung kerana membunuh isteri majikannya.

Pelaksanaan hukuman pancung oleh pihak berkuasa Saudi Sabtu lalu meningkatkan kecaman terhadap kerajaan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang didakwa tidak banyak bertindak melindungi rakyat Indonesia yang bekerja di seberang laut, kebanyakannya sebagai pembantu rumah dan pekerja binaan.


“Saya mengambil keputusan menggantung sementara penghantaran pekerja Indonesia ke Arab Saudi, berkuatkuasa 1 Ogos depan. “Bagaimanapun, langkah ke arah itu bermula hari ini,” kata Susilo.

Menurut Susilo, penggantungan itu akan berkuatkuasa sehingga kerajaan Indonesia dan Arab Saudi mencapai persetujuan untuk memberi hak yang sepatutnya kepada pekerja Indonesia.


Terdapat kira-kira 1.2 juta rakyat Indonesia bekerja di Arab Saudi, kebanyakannya sebagai pembantu rumah.


Mereka menjadi sumber penting pertukaran wang asing dan membantu mengurangkan pengangguran di Indonesia.

Menteri Luar, Marty Natalegawa berkata, Indonesia tidak boleh mencampuri proses perundangan negara lain seperti mana ia tidak mahu campur tangan negara lain dalam proses perundangannya, termasuk Australia yang rakyatnya berdepan dengan hukuman mati di Indonesia.



Indonesia memanggil pulang dutanya di Riyadh baru-baru ini kerana membantah tindakan Saudi tidak memberitahunya terlebih awal mengenai hukuman pancung ke atas pembantu rumah, Ruyati binti Sapubi, 54.

Dua puluh tiga warga Indonesia menghadapi hukuman mati di Arab Saudi ketika ini. - AFP

myMetro | Jakarta sekat amah ke Saudi

No comments:

Post a Comment