Tuesday, June 14, 2011

Kes Nik Aziz saman Utusan RM20j selesai luar mahkamah

KOTA BHARU 13 Jun - Kes saman fitnah RM20 juta oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan Melayu) dan dua yang lain berhubung penyiaran satu artikel, dua tahun lalu berjaya diselesaikan di luar mahkamah hari ini.

Penyelesaian secara baik itu dicapai di Mahkamah Tinggi di sini setelah Nik Abdul Aziz selaku plaintif menarik balik saman terhadap Utusan Melayu, Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdul Aziz Ishak dan wartawan, Rodelio Junjun Taucan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Yazid Mustafa yang mendengar kes itu kemudian merekodkan penyelesaian saman yang difailkan oleh Nik Abdul Aziz melalui firma guaman Tetuan C. Jegathesan.

Peguam yang mewakili ketiga-tiga defendan tersebut, Mohana Kumar memberitahu pemberita, pihak plaintif bersetuju menarik balik saman tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman tersebut dan tanpa kos.

"Selepas penyiaran artikel itu, pada 18 Jun 2009, Utusan Malaysia telah menyiarkan artikel penafian Nik Abdul Aziz mengenai kandungan artikel Nasihat saya mesti didengar di muka surat dua.

"Pada 29 Julai 2009, apabila dituntut oleh peguam plaintif, Utusan Malaysia telah menyiarkan permohonan maaf di muka hadapan Utusan Malaysia dan laman web Utusan Online namun demikian plaintif masih meneruskan tuntutan, akhirnya plaintif bersetuju untuk menarik balik saman ini," katanya.

Pada 8 Julai 2009, Nik Abdul Aziz telah menghantar notis tuntutan undang-undang bagi menuntut ganti rugi RM20 juta dan permohonan maaf daripada pihak defendan atas penerbitan, percetakan serta penyiaran artikel bertajuk Nasihat saya mesti didengar pada 15 Jun 2009.

Menurut notis tuntutan tersebut, penyiaran artikel itu ke seluruh negara dan antarabangsa melalui cetakan biasa serta Internet di alamat www.utusan.com.my telah mengakibatkan kesusahan dan kerugian kepada plaintif sama ada dari segi agama, moral, politik dan keluarga.

Dalam saman yang difailkan pada 17 September 2009, plaintif menamakan Rodelio defendan pertama, Abdul Aziz defendan kedua dan Utusan Melayu defendan ketiga.

habis

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment