Wednesday, June 29, 2011

Myanmar senarai hitam Yeoh

Bekas gadis Bond kelahiran Malaysia tidak berpeluang memasuki Yangon

YANGON: Bintang Hollywood, Michelle Yeoh yang bakal memegang watak sebagai ikon prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dalam sebuah filem terbaru dilaporkan dihantar pulang oleh kerajaan Myanmar dan disenaraihitamkan, kata seorang pegawai semalam.
“Beliau tidak akan mempunyai peluang memasuki Myanmar semula. Beliau dihantar pulang terus dengan penerbangan pertama selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon,” kata seorang pegawai Myanmar, yang enggan dinamakan kepada AFP.
“Beliau kini dalam senarai hitam,” kata pegawai yang lain yang juga enggan mengulas mengapa.

Sementara itu agensi berita Associated Press melaporkan Yeoh tiba di Yangon pada 22 Jun lalu dan dihantar pulang pada hari sama.

Bekas gadis Bond kelahiran Malaysia itu pernah menemui pemenang Hadiah Nobel Keamanan di kediaman Suu Kyi di Yangon pada Disember selepas penggambaran filem bersama pengarah Luc Besson di Thailand bagi produksi terbabit, yang dirahsiakan.

Filem terbabit dijangka disiarkan pada akhir tahun ini.
Suu Kyi dibebaskan pada November selepas tujuh tahun dikenakan tahanan kediaman, kurang seminggu selepas satu pilihan raya yang disifatkan pengkritik sebagai bertujuan untuk mengekalkan pemerintahan tentera di belakang pentadbiran awam di Myanmar.

Suu Kyi yang memasuki usia 66 tahun bulan ini mendapat perhatian antarabangsa berikutan tentangan aman beliau dalam berhadapan dengan penindasan.

Pada 1990 beliau mengetuai parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi yang mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya tetapi tidak pernah diiktiraf kerajaan pemerintah tentera Myanmar. Beliau turut memboikot pilihan raya tahun lalu dengan menyifatkan pemerintah sebagai tidak adil.

Yeoh, 48, adalah bekas Ratu Malaysia, yang mula mendapat perhatian antarabangsa apabila turut bergandingan dengan Pierce Brosnan dalam filem James Bond 1997, Tomorrow Never Dies sebagai seorang pengintip China yang bukan saja tegas tetapi cantik.

Beliau kemudian berlakon dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon sebuah filem epik seni pertahanan diri yang mendapat sambutan antarabangsa dan juga filem Memoir of a Geisha berdasarkan novel terlaris oleh Arthur Golden. – AFP/AP
Berita Harian Online | Myanmar senarai hitam Yeoh

No comments:

Post a Comment