Wednesday, June 1, 2011

Thaksin kata Yingluck bukan boneka, tapi klonnya



SYDNEY 31 Mei – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menafikan beliau mahu kembali memimpin negara itu dan mendakwa adik perempuannya, Yingluck bukanlah boneka tetapi adalah ‘klon’ beliau.
Thaksin memberitahu stesen televisyen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) dalam rancangan Latelinemalam tadi, beliau yakin Parti Puea Thai yang dipimpin sekutu-sekutunya akan memenangi pilihan raya umum Thailand pada 3 Julai ini.
Bagaimanapun beliau menafikan spekulasi matlamat utama beliau adalah untuk kembali memimpin Thailand.
“Adik perempuan saya sudah pun dicalonkan, kerana itu saya tidak perlu lagi kembali untuk menjadi Perdana Menteri,” kata Thaksin yang diwawancara di kediaman mewahnya di Dubai.
Pilihan raya itu dijangka menyaksikan pertarungan sengit antara Yingluck dengan musuh ketat Thaksin, yang juga Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva yang mengetuai Parti Demokrat.
Yingluck tidak mempunyai pengalaman politik dan banyak pihak berpendapat pencalonannya sebagai calon pembangkang untuk jawatan Perdana Menteri mengesahkan Thaksin terus memainkan peranan utama dalam arena politik Thailand, meskipun beliau tinggal di luar negara untuk mengelakkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
Thaksin mengaku beliau masih mampu mempengaruhi idea dan pemikiran kerana beliau lebih berpengalaman daripada orang lain dan berkesempatan untuk berkongsi pengalamannya sebagai bekas Perdana Menteri dan pengalaman meninjau pelbagai negara di seluruh dunia.
Namun beliau menafikan Yingluck adalah bonekanya, sebaliknya menyifatkan adik perempuannya itu sebagai ‘klon’ beliau.
“Dia adik perempuan bongsu saya dan bekerja untuk saya sejak awal lagi, kerana itu saya mengajar dan melatihnya dan cara kami bekerja hampir sama,” jelas Thaksin.
Katanya, klon bermakna ‘budaya, latar belakang, idea, sikap dan pemikiran yang sama’. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment