Saturday, June 4, 2011

Tolak Umno


KUALA LUMPUR: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno dan menolak sebarang usaha ke arah itu.
Dalam ucapan dasar pada Muktamar Pas Ke-57 yang bertajuk “Membangun Negara Berkebajikan“ di Taman Melewar, di sini Abdul Hadi menegaskan Pas akan terus bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat sebagaimana dipersetujui dalam dokumen dasar bersama pakatan itu.

Beliau berkata, polisi itu membabitkan satu paradigma baru pendemokrasian, satu aspek menyeluruh sistem pemerintahan dan urus tadbir negara.
Sambil mendakwa sistem demokrasi di negara ini sudah tempang, Abdul Hadi menuduh sikap Umno dan BN yang ingin mengekalkan kuasa sebagai punca ianya berlaku.

Sungguhpun begitu, katanya Pas sehingga kini tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi dan bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara tidak bermoral.

Beliau berkata, rakyat hanya berpeluang mengundi dengan sistem lama yang terlalu lemah dengan minda yang tertutup sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim adil mengikut makna demokrasi sebenar.
“Demokrasi bukan hanya memangkah kertas undi. Amalan demokrasi menuntut rakyat berpeluang mendapat maklumat semua parti dan calon bertanding melalui media terbuka.

“Apa yang berlaku, pada setiap pilihan raya, rakyat disogokkan dengan maklumat oleh jentera kerajaan sedangkan parti dan calon lain diberi peluang sangat terbatas untuk menyampaikan maklumat,” katanya.
Abdul Hadi juga menjelaskan perbezaan ideologi antara Pas dengan Umno tidak membolehkan kedua-dua parti duduk semeja terutama pendirian Umno yang memisahkan politik dengan agama yang menurut beliau sama sekali bertentangan dengan amalan Pas berpolitik mengikut panduan al-Quran.

Katanya, dalam pentas politik tanah air, Umno parti majoriti Melayu dan Bumiputera diamanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, tetapi penyakit penjajah asing yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama sudah menjangkiti Umno.

Abdul Hadi berkata, apabila Islam tidak dijadikan teras politik, maka jati diri umat Melayu Islam kian hari kian lemah dan ini menyebabkan amanah besar sebagai pemerintah itu dijadikan peluang kebendaan kalangan tertentu untuk menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat.

Pada masa sama, katanya Umno sekadar mengekalkan kuasa dan bukan memartabatkan bangsa Melayu dan Islam. - Bernama
myMetro | Tolak Umno

No comments:

Post a Comment