Sunday, June 5, 2011

Ulama tewas



Foto
TIMBALAN Presiden PAS yang baru dilantik, Mohamad Sabu keluar di luar dewan, turut kelihatan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang membonceng motosikal pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-57 di Taman Melewar, semalam. - Foto Sairien Nafis

Mat Sabu, puak Erdogan sapu bersih pemilihan PAS
KUALA LUMPUR: Golongan bukan ulama menguasai kepemimpinan PAS Pusat apabila golongan terbabit menyapu bersih jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden serta lebih separuh daripada 18 Ahli Jawatankuasa Pusat (AJK) dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Taman Melewar di sini.
Pemimpin akar umbi PAS, Mohamad Sabu tanpa diduga memenangi jawatan nombor dua dalam parti dengan merampas jawatan Timbalan Presiden daripada penyandang dua penggalnya, Nasharuddin Mat Isa.
Mohamad yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat dan lebih dikenali sebagai Mat Sabu memperoleh 420 undi menewaskan dua calon ulama iaitu Nasharudin yang memperoleh 224 dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 399 undi.

Jawatan Naib Presiden juga dikuasai bukan ulama apabila Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar diisytiharkan menang pada pertandingan enam penjuru.

Ini sekali gus memberi gambaran kepemimpinan Jawatankuasa PAS Pusat 2011-2013 menyaksikan penguasaan besar golongan berfikiran agak liberal dan dilihat pro pembangkang yang diberi jolokan kumpulan Erdogan.

Ini membawa mesej kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Hadi Awang untuk jawatan Presiden bagi penggal kelima tidak membayangkan golongan ulama dengan mudah dapat menguasai kepemimpinan ketika parti itu bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berkemungkinan diadakan tidak lama lagi.
Pemilihan yang mencetuskan tsunami kepemimpinan PAS itu dilihat memecah tradisi apabila Mat Sabu menjadi pemimpin bukan ulama pertama menduduki jawatan nombor dua parti selepas 20 tahun jawatan itu diduduki golongan ulama.

Kekalahan Nasharudin dikaitkan dengan perpecahan undi golongan ulama antara Tuan Ibrahim yang difahamkan mendapat sokongan pucuk pimpinan dalam usaha mengekang kemaraan bukan ulama menduduki jawatan nombor dua parti.

Dua penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Salahudin, dikelompokkan dalam kumpulan profesional mendapat undi terbanyak dan Mah-fuz, digembar-gemburkan pro-Erdogan. Pengaruh Erdogan juga dapat dilihat apabila Husam memperoleh undi kedua terbanyak.

Keputusan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abd Rahman jam 10.20 pagi semalam.

Kejutan yang membayangkan kehendak akar umbi, diterjemahkan menerusi undi perwakilan juga dapat dilihat menerusi keputusan barisan AJK PAS Pusat apabila mereka yang memperoleh undi paling banyak terdiri daripada kumpulan Erdogan dan penyokongnya.

Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang dikatakan penyokong kuat Mat Sabu serta mendapat sokongan kuat kumpulan Erdogan memberikan kejutan apabila memperoleh undian terbanyak (804) daripada 1,036 undi sah.

No comments:

Post a Comment