Saturday, July 2, 2011

Dua kena dakwa beri, terima rasuah


MOHAMAD Daud (kiri) dan Abdul Kayum (dua dari kanan) didakwa di mahkamah semalam atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.
MOHAMAD Daud (kiri) dan Abdul Kayum (dua dari kanan) didakwa di mahkamah semalam atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

Suapan bagi bantu permohonan dapatkan kontrak pencetakan wang polimer RM5

KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohamad Daud Dol Moin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua tuduhan menerima suapan wang tunai RM100,000 daripada seorang ahli perniagaan tempatan, tujuh tahun lalu.
Mohamad Daud, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menerima suapan berupa wang tunai RM50,000 daripada Abdul Kayum Syed Ahmad melalui seorang lelaki bagi membantu mendapatkan kontrak berhubung permohonan projek Pencetakan Wang Polimer RM5 oleh Note Printing Australia Limited.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan individu dan tujuan sama. Semua dakwaan itu dilakukan di Restoran Dome beralamat G7, Ground Floor, Bangsar Shopping Centre di sini, pada 1 Disember 2004 dan 16 Februari 2005.

Jika disabitkan kesalahan, Mohamad Daud boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup menawarkan jaminan RM100,000 sebelum mahkamah membenarkan Mohamad Daud diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan pada 2 Ogos depan. Tertuduh diwakili peguam, Collin Goonting dan JD Goonting.
Di SHAH ALAM, Abdul Kayum, 62, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas dua tuduhan memberi rasuah RM100,000 kepada Mohamad Daud.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas setiap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu melalui seorang lelaki di EON Bank, Taipan, Subang Jaya, pada 24 November 2004 dan 15 Februari 2005.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 2 Ogos ini bagi untuk sebutan kes.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan semalam, menegaskan mereka tidak bertolak ansur dengan sebarang perbuatan salah laku kakitangannya.

“Bank Negara mendukung standard integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab dan fungsinya. Bank juga sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan agensi berkaitan lain dalam siasatan mereka,” kata kenyataan itu. Berita Harian Online | Dua kena dakwa beri, terima rasuah

No comments:

Post a Comment