Saturday, July 30, 2011

Enam tahanan PSM bebas

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, 56, bersama lima ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan hampir sebulan mengikut Ordinan Darurat, dibebaskan semalam.

Yang lain adalah Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58; Setiausaha Bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49; Choo Chon Kai, 33; M Sukumaran 50, dan R Sarat Babu, 25. Mereka dipercayai dibebaskan tanpa syarat jam 5.30 petang di Balai Polis Jinjang. Mereka dibebaskan secara serentak selepas selesai pemeriksaan doktor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataan medianya berkata, tindakan selanjutnya akan ditentukan Jabatan Peguam Negara.

Mereka ditahan pada 2 Julai di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah).

Mengikut Seksyen terbabit, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun lalu dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Namun, jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan tersebut, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu ditangguhkan kepada 5 Ogos depan.

No comments:

Post a Comment