Thursday, September 22, 2011

Bilik 'Triaj' di balai polis





ISMAIL Omar menandatangani plat pelancaran perkhidmatan 'Triaj' di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyediakan sebuah bilik khas di bahagian pertanyaan balai-balai polis untuk kegunaan pengadu yang ingin membuat laporan berkaitan kes-kes sensitif.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, selain menjaga kerahsiaan pengadu, kemudahan bilik yang dikenali sebagai 'Triaj' itu diwujudkan bagi mengelak berlaku suasana tidak terkawal di kaunter pertanyaan.
Katanya, kemudahan itu diberikan kepada orang ramai yang membuat aduan berkaitan kes-kes sensitif seperti jenayah seksual, keganasan rumahtangga, culik, ragut dan kemalangan jalan raya.
"Pengadu yang terdiri daripada kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita hamil akan diberi keutamaan menggunakan bilik Triaj (bermaksud 'tindakan mengikut kesesuaian' dalam bahasa Perancis).
"Kita akan menyediakan kakitangan awam dan pegawai penyiasat yang terlatih untuk menerima laporan dan membantu mangsa mengawal emosi mereka ketika ditempatkan di bilik Triaj.
Katanya, bilik ini berbeza dengan kaunter pertanyaan kerana ia tempat menangani masalah pengadu yang menghadapi tekanan emosi atau pengalaman pahit dalam sesuatu kejadian.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Perkhidmatan Triaj PDRM di Balai Polis Travers di sini, hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan Triaj merupakan satu daripada inisiatif yang disenaraikan di bawah projek Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan PDRM.
Beliau berkata, fasa pertama perkhidmatan Triaj telah dilaksanakan mulai tahun lalu dengan lima balai dipilih sebagai perintis projek tersebut iaitu dua di Kontinjen Selangor dan tiga di Kuala Lumpur.
Balai-balai tersebut adalah Balai Polis Damansara; Seksyen 15, Shah Alam; Travers, Petaling dan Sungai Besi.
"Dalam fasa kedua tahun ini, sejumlah 35 balai polis di beberapa kontinjen lokasi panas iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur akan dibina bilik Triaj.
"Perkhidmatan Triaj akan diperluaskan ke negeri-negeri lain tetapi ia bergantung kepada peruntukan disediakan oleh kerajaan kerana kos menyediakan sebuah bilik sahaja memerlukan antara RM50,000 hingga RM60,000," katanya.
Selain membina bilik Triaj, PDRM juga akan menambah kelengkapan logistik di ruang menunggu seperti set sofa, televisyen, alat pendingin hawa dan air minuman untuk memberi keselesaan kepada pelanggan yang datang berurusan di balai-balai polis.

No comments:

Post a Comment