Tuesday, September 6, 2011

Manila larang bekerja di negara anggota GCC

MANAMA: Filipina dilaporkan merancang untuk melaksanakan larangan menghantar pembantu rumah ke Qatar dan dua lagi negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kerana menuduh negara terbabit tidak mempunyai undang-undang sewajarnya untuk melindungi hak pekerja terbabit.

Kelulusan daripada lembaga pentadbir Pentadbiran Pengambilan Pekerja Luar Negara Filipina (POEA) dinanti untuk membolehkan larangan terbabit dilaksanakan, lapor akhbar harian Qatar, The Peninsula, kelmarin.
Qatar memiliki 26,000 pekerja pembantu rumah Filipina. Permintaan mendapat lebih ramai pembantu rumah Filipina adalah disebabkan tingkah laku mereka, tahap celik huruf dan standard latihan yang baik.
The Peninsula melaporkan, kedutaan Filipina di Doha memutuskan untuk tidak memberi sebarang ulasan mengenai kemungkinan larangan itu sehingga resolusi diluluskan.

Bagaimanapun, laporan media dari Manila menyebut bahawa kerajaan Filipina akan meluluskan resolusi terbabit untuk melarang penghantaran pembantu rumah ke Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.

Manila mengemukakan bantahan serius kerana Qatar tidak mempunyai undang-undang buruh melindungi pembantu rumah dan ketiadaan undang-undang seperti itu menyebabkan pekerja terbabit tidak mempunyai hak perlindungan asas, seperti cuti sehari seminggu dan waktu kerja yang ditetapkan.

Setiausaha Buruh Filipina, Rosalinda Baldoz dipetik berkata Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) sudah membuat cadangan itu yang mendapati tiga negara Teluk berkenaan tidak beri jaminan perlindungan kepada pekerja pembantu rumah terbabit.
POEA dilaporkan belum membuat sebarang keputusan.

Menurut Pejabat Buruh Luar Negara Filipina di Doha, Qatar adalah negara ketiga terbesar memiliki pembantu rumah Filipina selepas Arab Saudi dan Hong Kong yang masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua.

Qatar baru-baru ini mengumumkan merancang untuk membenarkan agensi buruh tempatan merekrut pembantu rumah dari negara baru termasuk Myanmar, Nepal, Kenya dan Tanzania.

Agensi buruh di Doha menyalahkan kerajaan Filipina kerana mengenakan syarat ketat termasuk menetapkan gaji yang tinggi kepada pembantu rumah terbabit.
Berikutan itu sesebuah agensi mengenakan bayaran sehingga QR10,000 (RM8,176) untuk membekalkan pembantu rumah kepada sesebuah isi rumah. – Agensi 

No comments:

Post a Comment