Wednesday, September 14, 2011

Obama bohong rakyat Amerika

Foto
FOTO Ayman al-Zawahiri dalam mesej terbaru al-Qaeda.


Al-Qaeda tuduh kerajaan AS hamba Yahudi dalam video sempena 9/11


HONG KONG: Pergerakan al-Qaeda menyiarkan video sempena ulang tahun ke-10 tragedi 9/11 yang turut memaparkan mesej bekas pemimpinnya, Osama bin Laden, memberi amaran kepada rakyat Amerika Syarikat berjaga-jaga tidak menjadi 'hamba syarikat besar dan wang Yahudi.'
Video 62 minit itu bertajuk The Dawn of Imminent Victory (Permulaan ke arah Kejayaan Besar) juga menampilkan ucapan pemimpin baru al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri yang menyokong revolusi ‘Kebangkitan Warga Arab,’ kata kumpulan perisikan AS yang memantau dunia web, SITE Intelligence, semalam.
Agensi itu berkata, mesej Osama itu mungkin sama dengan rakaman yang ditemui dalam serbuan Amerika ke atas tempat persembunyiannya di Pakistan Mei lalu, yang disiarkan Washington tanpa bunyi latar.

Osama yang dibunuh komando SEAL, memberi amaran kepada rakyat Amerika supaya tidak ‘terjerumus hingga menjadi hamba kawalan syarikat besar dan wang modal Yahudi,’ kata SITE.

Beliau mencadangkan supaya rakyat Amerika membaca buku Obama’s War nukilan bekas wartawan, Bob Woodward yang memperincikan pertengkaran hebat berhubung cara tentera Amerika membuat keputusan dan memberitahu mereka bahawa slogan kempen Obama iaitu ‘Yes, we can’ adalah tidak benar.

Zawahiri yang kini lelaki paling dikehendaki Washington membuat ucapan panjang lebar mengenai insiden masa lalu termasuk revolusi dunia Arab dan kematian Osama yang digantinya selepas sekian lama menjadi orang nombor dua al-Qaeda.
“Zawahiri mengisytiharkan bahawa bertentangan daripada apa yang dilaporkan media, al-Qaeda menyokong revolusi dan berharap ia dapat mewujudkan negara Islam sebenar dan pentadbiran berasaskan syariah.

“Revolusi popular, katanya, adalah satu bentuk kekalahan buat Amerika Syarikat, sama seperti serangan 9/11 dan mendakwa kekurangan kejayaan di Afghanistan dan Iraq juga satu kekalahan,” kata SITE.

Al-Qaeda tidak disebut sebagai faktor dalam bantahan popular yang melanda dunia Arab tahun ini, menjurus kepada kejatuhan pemimpin Mesir, Libya dan Tunisia serta mencetuskan kekacauan besar di tempat lain.

Penganalisis mempertikaikan bahawa fenomena itu menyebabkan kumpulan pengganas global lemah dan tidak relevan.

Zawahiri memuji Osama sebagai seorang pejuang yang berjaya mengalahkan tentera Russia di Afghanistan serta Amerika dan berkata beliau sudah berkorban segala-galanya.

“America menafikan hakikat ia tidak berdepan individu atau kumpulan namun keseluruhan ummah (masyarakat Islam). Selepas pembunuhan Osama, wajah revolusi Islam sudah muncul.

“Amerika bersikap sombong secara semula jadi menafikan hakikat ia berdepan kebangkitan ummah dan ia mungkin punca kekalahan dan kejatuhannya dengan izin Allah,” katanya lagi.

Seperti juga Osama, Zawahiri berada dalam tempat persembunyian sejak Amerika melancarkan kempen memerangi keganasan selepas serangan 11 September 2001. – AFP

No comments:

Post a Comment