Sunday, September 18, 2011

Protes kenyataan pakar sejarah



LEDANG - Dewan Pemuda Pas Kawasan Ledang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang sebagai memprotes kenyataan dikeluarkan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Zainal Keling.

Ia berikutan kenyataan yang beliau keluarkan pada satu sidang akhbar di Putrajaya pada 9 September lalu, yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah, sebaliknya hanya dilindungi dan dinaungi British.

Justeru, Dewan Pemuda Pas Kawasan Ledang menggesa pihak berkuasa supaya segera menyiasat dan mendakwa Dr Zainal Keling di mahkamah.

Dr Zainal turut mengatakan, “jangan kita sebut kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang sangat besar”.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Ledang, Mohd Rasul Amat berkata, Dewan Pemuda Pas Kawasan Ledang sangat terkejut dengan kenyataan itu apabila dikeluarkan seorang yang berpengaruh.

Menurutnya, beliau juga dikatakan pakar dalam bidang sejarah serta mewakili MPN.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab ini mengganggu gugat kestabilan dan mengelirukan segenap lapisan masyarakat.

“Sedangkan masyarakat telah sekian lama diajar dan difahamkan bahawa British adalah penjajah negara dan kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah kemerdekaan dari penjajahan British,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Rasul berkata, kenyataan tersebut sekali gus menafikan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Toj Janggut, Mat Kliau, Datuk Bahaman, Dol Said dan Rosli Dobi.

“Kami merasakan terdapat agenda tersembunyi yang dirancang oleh pihak tertentu di sebalik kenyataan yang bertujuan menggugat keharmonian.

“Pada masa yang sama cuba mewujudkan kegusaran dalam masyarakat bagi mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu lain yang gagal ditangani oleh pihak berwajib,” katanya.

Menurutnya, kenyataan tersebut mencerminkan seolah-olah rakyat telah ditipu selaa 54 tahun apabila menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun sebagai ulang tahun kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah British.

No comments:

Post a Comment