Sunday, October 23, 2011

Safia gesa PBB siasat kematian


KAHERAH 22 Okt. - Balu kepada Muammar Gaddafi, Safia hari ini mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kematian bekas pemimpin Libya itu.

''Kami (ahli keluarga Gaddafi) mahu PBB menyiasat kematiannya (Gaddafi. Saya bangga dengan keberaniannya dan anak lelaki saya (Mutassim) yang berjuang menentang pemberontakan selama enam bulan.

''Mereka yang terkorban adalah mati syahid,'' katanya seperti dipetik menerusi laporan stesen televisyen Al Rai.

Safia dan tiga orang anaknya iaitu Aisha, Hannibal dan Mohamed melarikan diri ke Algeria selepas tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menawan Tripoli Ogos lalu.

Terdahulu, sebuah stesen televisyen pro-Muammar Gaddafi yang berpangkalan di Syria hari ini menyiarkan kenyataan ahli keluarga kepada bekas pemimpin Libya itu agar jenazah Gaddafi yang terbunuh dalam satu pertempuran kelmarin diserahkan kepada mereka.

Mereka juga merayu supaya jenazah anak lelaki Gaddafi, Mutassim turut diserahkan untuk dikebumikan.

Bagaimanapun, tiada laporan lanjut dinyatakan mengenai identiti ahli keluarga Gaddafi yang membuat tuntutan tersebut.

Di pihak lain, puak-puak pro-Gaddafi turut menuntut agar diberikan peluang untuk mengurus dan mengebumikan jenazah Gaddafi.

"Kami menyeru Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amnesty International untuk memaksa Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyerahkan jenazah mereka termasuk pejuang pro-Gaddafi kepada puak kami di Sirte.

"Ini membolehkan mereka melaksanakan upacara pengebumian mengikut cara Islam," jelas puak berkenaan.

Dalam perkembangan lain, jurucakap tentera NTC di Misrata, Fathi al-Bashaagha berkata, pihaknya tidak akan melakukan bedah siasat terhadap jenazah Gaddafi walaupun terdapat laporan berbeza berhubung kematian Gaddafi. - REUTERS/AFP/dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment