Thursday, November 24, 2011

Bajet PRU13 dijangka naik kepada RM100 juta


MELAKA 23 Nov. - Perbelanjaan bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dijangka meningkat sebanyak RM100 juta berbanding pilihan raya umum lalu berikutan pertambahan bilangan pengundi dan kos-kos pembaikan bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, pihaknya menganggarkan sejumlah RM300 juta diperuntukkan pada bajet pilihan raya kali ini berbanding RM200 juta dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Menurutnya, selain pertambahan bilangan pemilih, faktor lain yang turut menyumbang kepada peningkatan jumlah bajet pilihan raya kali ini adalah seperti penyediaan peralatan proses pilihan raya antaranya kotak undi, penindik dan kenderaan.

"Jangkaan kasar RM300 juta hanya jika pilihan raya diadakan serentak. Sekiranya ada negeri yang mahu pilihan raya dijalankan berasingan, sudah tentu jumlahnya melebihi RM300 juta. SPR cadangkan biarlah ia diadakan serentak kerana lebih menjimatkan," katanya selepas Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus (PRU13) Melaka hari ini.

Selain itu kata beliau, proses undi pos turut mempengaruhi pertambahan bajet pilihan raya kerana pelaksanaannya melibatkan kos yang tinggi.

"Saya dimaklumkan untuk hantar dan dapatkan balik undi pos bagi seorang pemilih di luar negara memerlukan belanja sekurang-kurangnya AS$10 seorang," katanya.

Namun menurut Abdul Aziz, penyediaan bajet pilihan raya itu masih di peringkat awal dan ia hanya mewakili peratusan kecil proses pilihan raya kerana tumpuan turut diberi kepada aspek penambahbaikan.

Bagi tujuan itu katanya, beberapa pembaharuan proses pilihan raya telah dikemukakan oleh SPR dan ia masih dalam peringkat penelitian dan perbincangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Katanya, pembaharuan yang dicadangkan itu termasuk proses penamaan calon, undi awal, undi pos, pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya, penggunaan dakwat kekal dan bahan kempen.

"Cadangan pembaharuan itu juga tidak semestinya untuk pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-3, mungkin ada yang sesuai dilaksanakan pada pilihan raya akan datang mengikut kesesuaian semasa," katanya.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment