Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR - Pas akan memohon perintah larangan mahkamah bagi menghalang Rang Undang-undang Per­him­punan Aman 2011 dibacakan di Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, Pas menolak rang undang-undang berkenaan kerana dilihat menyekat kebebasan bersuara dan menghina Perlembagaan Malaysia.

“Akta baru yang memerlukan notis sehingga sebulan untuk berhimpun dan sekatan yang dikenakan dilihat tidak kena bagi membawa Malaysia ke arah negara ber­­­­demokrasi.

“Pindaan akta ini seolah-olah menghina rakyat. Malaysia sepatutnya bergerak ke arah demokratik tetapi lebih bersifat diktator dengan memperkenalkan akta baru tersebut membuatkan kami menolak terus akta ini,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam Pas, Mohamed Hanipa Maidin berkata, mereka akan kemukakan notis tuntutan bagi memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan selewat-lewatnya minggu depan bagi menyekat rang undang-undang diteruskan.

“Kita tidak akan tunggu rang undang-undang ini diluluskan menjadi undang-undang, baru kita hendak cabar.

“Tindakan tersebut berasas kerana kerajaan tidak mempunyai kuasa menggubal rang undang-undang mengikut acuan mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami berkata, rang undang-undang tersebut bukan sahaja menyekat perhimpunan aman tetapi melarang terus rakyat daripada berhimpun.