Tuesday, November 29, 2011

Soi Lek celaru tuduh PAS tutup Genting



Khairil Abdul Rahim
 TEMERLOH, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) menganggap Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mengalami kecelaruan pemikiran apabila akhir-akhir ini sering mengecam hudud sehingga apa yang diucapkan beliau jauh tersasar daripada yang diperjuangkan oleh PAS.

Ketuanya, Shahril Azman Al-Hafiz (gambar) menolak dakwaan Soi Lek bahawa pusat pelancongan Genting Highlands akan ditutup apabila PAS mengambil alih pemerintahan sebagaimana tersiar dalam akhbar The Star kelmarin.

Dalam kenyataan tersebut Soi Lek berkata, Malaysia mungkin kehilangan Genting Highlands jika Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan dan melaksanakan undang-undang hudud.

Menurut Shahril Azman, PAS tidak berhasrat menutup kawasan yang menjadi tarikan popular pelancong yang sudah maju dan mendatangkan keuntungan ekonomi sebaliknya parti itu hanya mahu menghapuskan judi kerana ia dilarang oleh semua agama.

“Barangkali Soi Lek tidak faham bahawa judi boleh merosakkan institusi keluarga dan kemasyarakatan dan apabila rosak dua institusi ini ia ancaman kepada negara. Keluarga boleh berpecah belah akibat bahana judi sehingga berlaku perceraian. Dalam masyarakat pula judi boleh membawa pergaduhan, pembunuhan dan suburnya industri Ah Long.

“Apa yang untungnya rakyat dengan judi ini sebab yang untung hanya tauke judi, jadi itu bukanlah kemajuan namanya. Sebab itu negara yang maju seperti Singapura dan Indonesia tidak membenarkan kasino berlesen,” katanya dalam sidang medianya semalam.

Mengenai kenyataan Soi Lek bahawa Genting memainkan peranan penting dalam ekonomi negara kerana menerima 20 juta pelawat dan membayar cukai RM1bilion setahun, Shahril berkata jika PR memerintah semua pusat pelancongan akan diberi penambahbaikan lagi supaya dapat menambah kantung negara.

“Jadi cuba mengaitkan hukum hudud dengan tutup Genting Highlands itu tidak ada kena mengena. Kami tegaskan bahawa tidak ada agama yang membenarkan judi. Persoalannya adakah Soi Lek tidak mempunyai agama?

“Bahkan ekonomi rakyat termasuk orang Cina juga akan lebih terpelihara dan meningkat tanpa judi kerana judi adalah penipuan dan menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat,” katanya.

Soi Lek sempena menyampaikan hadiah kepada pemenang Malaysia National Lion Dance Championship 2011 di Genting itu turut mendakwa, di Kelantan kerajaan PAS tidak membenarkan kedai loteri dan jika PR berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat, mereka mahu untuk melaksanakan undang-undang hudud dan Genting menjadi mangsa pertama.

“Sebenarnya Soi Lek yang pernah dikaitkan dengan video porno itu menghadapi kecelaruan pemikirannya sendiri ketika cuba meraih kepentingan politik kerana tidak ada negara yang maju hanya kerana judi,” tambah Shahril. Soi Lek celaru tuduh PAS tutup Genting:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment