Saturday, November 12, 2011

Tak bubar Parlimen

KUALA LUMPUR: Ketika pelbagai pihak membuat spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan semalam bersamaan 11,11,2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula menjelaskan tarikh ‘cantik’ itu berlalu dengan tiada sebarang perubahan kepada pimpinan negara.

Malah, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, selaku pemimpin tertinggi kerajaan, beliau tidak membincangkan sebarang perkara mengenai pembubaran Parlimen itu dengan majlis tertinggi parti.


“Tiada perbincangan mengenai agihan kerusi atau apapun. Tak ada...kita tak membincangkan perkara itu di mesyuarat ini. Tarikh 11 November 2011 berlalu tanpa Parlimen dibubarkan.

“Mesyuarat (Majlis Tertinggi BN) hari ini (semalam) mesyuarat biasa untuk kita tentukan organisasi BN lebih kukuh dan mantap, terutamanya membabitkan perjalanan dan semua kerja dalam usaha menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek; Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk Dr M Kayveas.


Najib berkata, perbincangan juga tertumpu kepada betapa pentingnya pimpinan parti kembali kepada prinsip BN yang saling hormat menghormati antara satu sama lain dan cenderung mengamalkan konsep berbincang terhadap apa jua isu dalam bilik tertutup.

“Ini supaya kita dapat mencapai kata sepakat bersama dalam apa isu sekalipun termasuk membabitkan hal yang disifatkan sensitif,” katanya.


Beliau turut mengingatkan pemimpin BN supaya tidak menyentuh sensitiviti pihak dan parti komponen lain jika perlu membuat kenyataan secara terbuka selain memikirkan semasak-masaknya sesuatu kenyataan sama ada boleh mendatangkan keuntungan atau kerugian.

Selain itu, Najib memperjelaskan kepada ahli majlis tertinggi BN mengenai Belanjawan 2012 yang mendapat maklum balas positif daripada semua pihak dan rakyat juga menantikan pelaksanaannya.


“Saya dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) juga menerangkan mengenai kaedah penyampaian serta pelaksanaan khususnya mengenai wang bantuan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang mula diagihkan bulan ini.


“Keduanya, mengenai pemberian RM500 bagi setiap keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Ini sudah dibincangkan di peringkat jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan TPM mengenai kaedah pelaksanaan supaya ia sampai ke golongan sasaran,” katanya.


Ditanya mengenai kenyataan ahli jawatankuasa pusat MCA, Datuk Ei Kim Hock yang mengatakan penduduk Malaysia di luar negara tidak layak mengundi, Najib menegaskan itu bukan pendirian BN.


Sebaliknya beliau berkata, pelaksanaan bagi membolehkan pembuangan undi dijalankan mungkin menimbulkan kesukaran terutama daripada segi logistik apabila perlu menyelia proses buang undi untuk 800 kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.


“Ini mungkin menimbulkan kesukaran untuk dilaksanakan...itu saja,” katanya.

myMetro | Tak bubar Parlimen:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment