Monday, November 28, 2011

Teksi untuk Wanita

KHUSUS UNTUK WANITA: Pemandu teksi, Cik Zaharah Abdul Rahman, bersedia menawarkan khidmat bagi golongan hawa bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka. -- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kegelisahan penumpang teksi wanita berhubung keselamatan mereka kini berakhir dengan pelancaran projek 'TeksiWanita'.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kei, berkata fasa perintis projek itu, dengan kerjasama Abex Manufacturing Sdn Bhd, akan menyasarkan 400 teksi beroperasi secara on-call di sekitar Lembah Klang secara berperingkat-peringkat.

'Setakat ini, kami telah ada 50 pemandu teksi wanita dan kita menggalakkan mereka yang berminat menceburi bidang ini, terutama suri rumah, ibu tunggal dan pesara,' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan di sini, kelmarin.

Tambah Datuk Heng, projek itu bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan kepada kaum wanita yang mahu membantu menambah pendapatan keluarga.

Beliau berkata, teksi itu akan dipandu oleh wanita dan bersedia memberi perkhidmatan kepada penumpang wanita yang bersendirian atau membawa anak agar mereka dapat menjalankan urusan harian dengan selesa serta lancar.

'Bagaimanapun, mereka boleh membawa penumpang lelaki sekiranya mereka berasa selamat dan destinasi yang dituju adalah berdekatan,' tambah beliau.

Sehingga kini, terdapat tiga buah syarikat iaitu Destination Transport, Zalnas Sdn Bhd, serta Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya yang boleh dihubungi bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment