Saturday, December 17, 2011

19 syarikat Menteri Kewangan rugi RM0.71 bilion


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Sebanyak 19 daripada 47 syarikat yang Menteri Kewangan (Diperbadankan) memiliki saham melebihi 50 peratus, mencatatkan kerugian sebelum cukai berjumlah RM0.71 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2009.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, antaranya ialah Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) yang kerugian RM367.12 juta, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebanyak RM92.59 juta dan Assets Global Network Sdn. Bhd. (AGN) sebanyak RM41.05 juta.

Katanya, kerugian yang dialami ketiga-tiga syarikat itu antaranya berpunca daripada perbelanjaan tinggi dalam kos pelaburan (impak melalui perbelanjaan susut nilai) dan kos operasi meningkat (dengan kadar tambang yang dikenakan pula rendah) serta pembayaran faedah kewangan yang tinggi.

"Sebagai syarikat yang ditubuhkan untuk memenuhi obligasi sosial dalam menyediakan kemudahan awam atau sebagai syarikat special purpose vehicle (SPV), ketiga-tiga syarikat itu bukanlah bermotifkan keuntungan semata-mata," katanya menjawab soalan Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Awang Adek dalam pada itu berkata, beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) utama telah memperluaskan skop pelaburan luar negara mereka selaras dengan program transformasi GLC (GLCT) yang menyasarkan melahirkan beberapa jaguh serantau menjelang 2015 dan pada masa sama meningkatkan kadar keuntungan serta nilai pemegang saham.

Selain itu katanya, setiap pelaburan yang dibuat oleh GLC di luar negara dilakukan secara berhemah dan mengambil kira kepentingan komersial dan strategik kepada negara.

"Beberapa GLC telah mengukuhkan kedudukannya di peringkat serantau, antaranya Axiata Group Bhd. (Axiata), CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB) dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB)," katanya.

Awang Adek menjelaskan, antara langkah strategik oleh GLC berkenaan untuk bersaing di peringkat serantau dan global termasuk penyatuan dan pengambilalihan syarikat terkemuka, pembukaan cawangan baru di rantau ASEAN dan terlibat dalam projek-projek pembangunan infrastruktur.

Sementara itu Awang Adek berkata, penglibatan GLC di luar negara telah meningkat dengan ketara sejak 2004.

Beliau memberi contoh, jumlah pegangan aset Kumpulan G20 (18 GLC terbesar di bawah GLCT) adalah pada tahap 14 peratus daripada keseluruhan aset G20 pada 2004 dan 23 peratus pada 2010.

"Dari segi pendapatan G20 pula, sumbangan luar negara adalah sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan G20 pada 2004 dan 31 peratus pada 2010," katanya.

Utusan Malaysia Online - Parlimen:

No comments:

Post a Comment