Monday, December 19, 2011

DBKL arah kontraktor punca banjir henti kerja



PELAJAR yang menerima sumbangan persediaan ke sekolah anjuran YPC dan Pergerakan Pemuda UMNO Cheras dengan kerjasama Pasaraya Giant bergambar bersama Ahmad Fuad Ismail (berbaju kuning) dan Syed Ali Alhabshee (baju gelap) di Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR 18 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan notis arahan menghentikan kerja kepada kontraktor yang dikenal pasti menyebabkan berlaku banjir kilat di Jalan Brunei dan Jalan Brunei Utara, dekat Pudu di sini baru-baru ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, kejadian di kawasan berkenaan disebabkan tindakan kontraktor terlibat menutup longkang berhampiran tapak projek mereka bagi kerja-kerja pembangunan.

Tindakan itu, katanya telah membuatkan air melimpah akibat taburan hujan yang meningkat mendadak pada pada hari kejadian.

Beliau menjelaskan, kawasan berkenaan bukanlah antara sepuluh lokasi yang tersenarai sebagai kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir di sekitar ibu kota seperti Kampung Kasipillay, off Jalan Ipoh; kawasan Segambut Dalam/Segambut Tengah/Segambut Bahagia; Jalan Tun Razak/Jalan Gurney/Jalan Gurney Kiri dan Setapak - Jalan Air Panas/Jalan Air Madu serta Kampung Cheras Baru.

"DBKL mengakui masih ada beberapa kelemahan berhubung isu ini, namun kami sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik dari semasa ke semasa melibatkan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.

"Ini termasuk memastikan tugas-tugas mengurus, menyelaras dan memberi bantuan dapat dilaksanakan dengan cepat," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan persediaan ke sekolah 2012 anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Pergerakan Pemuda UMNO Cheras dengan kerjasama Pasaraya Giant di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Pada majlis itu sebanyak 700 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Cheras menerima sumbangan berupa beg sekolah, kasut dan stokin.

Ahmad Fuad berkata, kejadian banjir di ibu kota kebanyakannya berpunca daripada sistem perparitan tersumbat oleh sampah sarap atau kelodak dan DBKL akan memastikan kerja-kerja pembersihan perangkap sampah akan dipertingkatkan daripada lima kali seminggu kepada setiap hari.

Sebelum ini, beliau menjelaskan dua pelan akan dilaksanakan pada tahun depan yang dijangka dapat mengatasi masalah banjir di kawasan sekitar Jalan Tun Razak.

Pelan pertama ialah membina satu lencongan untuk mengalirkan air dari Sungai Bunus ke Tasik Titiwangsa sebelum disalurkan ke Sungai Gombak, manakala pelan kedua ialah menaik taraf dua kolam takungan di Air Panas dan Setapak Jaya bernilai RM20 juta dalam masa terdekat ini.

Kejadian banjir kilat di Jalan Brunei dan Jalan Brunei Utara berlaku hanya sehari selepas kejadian banjir kilat yang teruk melanda Jalan Tun Razak, di hadapan Perpustakaan Negara, pada Selasa lepas sehingga menyebabkan beribu-ribu kenderaan terperangkap.

Utusan Malaysia Online - Kota:

No comments:

Post a Comment