Sunday, December 25, 2011

Isu MyKad anak Mufti Perlis selesai

SHAH ALAM - Permohonan Mykad anak Mufti Perlis, Sumaiyah Syahidah yang tergendala disebabkan tidak memiliki taraf kewarganegaraan Jumaat lalu, kini selesai selepas disiapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuching, Sarawak.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, selepas disiasat, masalah berlaku di pejabat JPN Sarawak lebih kepada masalah komunikasi.

“Kakitangan kaunter kurang cekap memberi penjelasan, mengapa pengemaskinian rekod peribadi perlu dibuat untuk permohonan dokumen berstatus tertentu.

“Situasi itu timbul berhubung Tatacara Pengendalian Permohonan Kad Pengenalan Kanak-Kanak 12 Tahun Yang Mempunyai Masalah Berkaitan Dengan Taraf Warganegara yang telah dikuatkuasakan bermula 11 Jun 2009, bagi perkahwinan lelaki warganegara Malaysia dengan wanita rakyat asing,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan arahan ini, status anak daripada perkahwinan lelaki warganegara Malaysia dengan wanita rakyat asing, perlu dikemas kini bagi permohonan kad pengenalan kali pertama.

“Berdasarkan semakan, semua rekod kelahiran kecuali Sumaiyah telah dikemas kini, sebelum surat arahan berhubung tatacara tersebut dikuatkuasakan, manakala pengemaskinian rekod kelahiran Sumaiyah, anak kedua lahir pada 14 Jun 1999, dibuat pada 12 Jun 2009, sehari selepas arahan dikuatkuasakan,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, pihaknya berharap, kejadian begini tidak menimpa individu yang menetap di kawasan pendalaman sukar mendapat kemudahan pengangkutan.

“Alasan tidak dikemas kini belum mampu menjawab persoalan kerana sebelum ini di dalam sijil kelahiran kanak-kanak itu disahkan sebagai warganegara, tambahan pula, arahan supaya mengemukakan sijil perkahwinan ketika mahu buat MyKad tidak ditampal di papan notis.

“Persoalannya, dalam tempoh 12 tahun, mengapa mereka masih gagal mengemas kini maklumat itu. Kerajaan boleh bayar elaun atau kerja lebih masa kepada kakitangan bertugas, tetapi, mengapa perkhidmatan bagi memudahkan urusan rakyat tidak dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian. Isu MyKad anak Mufti Perlis selesai - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment