Jamil Khir Baharom

SHAH ALAM- PKR berharap agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom segera tampil dan tidak menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu penyalahgunaan wang zakat.

Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, Jamil perlu memberi penjelasan.

Nazmi berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Muhamad Yamin berkata semalam, kos pembiayaan guaman Jamil dan dua pegawai kanan MAIWP di ambil dari geran kerajaan.

"Dalam kenyataannya (Yamin), dia turut menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak tertentu yang menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau memberi peringatan kepada Yamin bahawa apabila seseorang dizalimi, mereka mempunyai hak yang diiktiraf dalam syarak dan sistem perlembagaan untuk mempertahankan diri.

Pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada lapan asnaf adalah kesalahan dan dosa besar.

"Sekurang-kurangnya apabila isu ini mula-mula timbul, Peguam Zainul Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut mempersoalkan tentang wujudnya 'dwi-standard' membabitkan kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahguna wang zakat sebanyak RM19,510 dan memulangkannya kembali. Bagaimanapun, Redzuan dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan.

"Umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap pengurusan wang zakat," katanya.