Wednesday, December 28, 2011

Naib Yang Dipertua 2 Perkim didakwa pecah amanah


SHAH ALAM 27 Dis. - Naib Yang Dipertua 2 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Profesor Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah terhadap dana projek menaik taraf jalan raya yang bernilai RM3.7 juta milik pertubuhan itu antara tahun 2002 dan 2004.

Turut dituduh bersama-sama Ariffin, 74, yang juga bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas kesalahan itu ialah dua ahli Perkim Cawangan Damansara Utama, Datuk Baharin Baba, 58, dan Abas Adam, 60.

Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Ariffin bersama-sama Baharin dan Abas sebagai pemegang amanah Perkim Cawangan Damansara Utama didakwa pecah amanah terhadap dana projek menaik taraf laluan B9/FT105 dari Lapangan Terbang Subang ke Hospital Sungai Buloh (Fasa A) membabitkan nilai RM3.7 juta.

Ketiga-tiganya didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkim Cawangan Damansara Utama, Petaling Jaya dekat sini antara 1 April 2002 dan 22 April 2004.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000.

Peguam Najah yang juga anak kepada Ariffin memohon mahkamah mengambil kira penglibatan bapanya dalam pelbagai program kebajikan serta peranan utamanya dalam menjaga dan membimbing saudara baru.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Ariffin yang menghidap pelbagai penyakit serta sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM semasa disiasat sejak tahun 2006, dibebaskan dengan jaminan tanpa cagaran.

Najah yang turut mewakili Abas memaklumkan seorang lagi anak guamnya itu tidak mempunyai pendapatan tetap selain menghidap penyakit angin ahmar, lemah jantung dan gout.

Selain itu, kata beliau, Abas juga mempunyai keluarga besar dan kebanyakan anak-anaknya masih bersekolah dan menuntut di kolej.

Sementara itu, peguam Normala Lot mewakili Baharin turut memohon jumlah jaminan yang lebih rendah untuk anak guamnya.

Asmadi membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin selain mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Januari ini untuk sebutan semula kes itu.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment