Saturday, December 3, 2011

Tunku 'Abidin mohon maaf

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Akhbar The Star diberi masa tiga hari untuk memohon maaf ekoran tindakan seorang kolumnisnya, Presiden Ideas, Tunku 'Abidin Muhriz yang mengumpamakan pemimpin UMNO seperti lintah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jika gagal berbuat demikian pihak terbabit perlu bersedia menghadapi saman malu daripada UMNO.
"Saya sudah membawa perkara ini kepada peguam untuk dibuat penelitian. Ini adalah suatu fitnah dan tohmahan yang sepatutnya tidak dilakukan.
"Mana boleh dia (kolumnis) mengatakan kita (pemimpin UMNO) macam lintah, itu adalah salah," katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan penyumbang ruangan pendapat mingguan The Star itu yang mengumpamakan para pemimpin UMNO seperti lintah.
Dalam pada itu, ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, perumpamaan yang diberikan penulis tersebut sangat tidak wajar.
"Proses untuk menjadi pemimpin di dalam UMNO bukanlah urusan mudah kerana perlu melalui banyak tapisan. Ia melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya," katanya.
Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Mustapa Mohamed menasihatkan penulis itu agar melihat kembali perjuangan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk kemerdekaan negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, dalam UMNO tiada unsur kronisme bukan seperti pembangkang.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula musykil dengan tindakanThe Star yang menerbitkan artikel tersebut ketika Perhimpunan Agung UMNO sedang berlangsung.
"Saya bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, cuma yang menghairankan mengapa The Star membiarkan berita yang boleh menimbulkan kemusykilan kepada pembaca dikeluarkan," katanya.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor pula berpendapat, kenyataan tersebut tidak melambangkan kemuliaan institusi yang diwakilinya disebabkan perkataan yang tidak beradab sehingga merendahkan martabat pemimpin UMNO.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, artikel-artikel seumpama itu sememangnya kerap diterbitkan oleh The Star.
"Saya tidak hairan dengan kenyataan itu kerana mereka (The Star) sering menggunakan kolumnis yang berfikiran liberal untuk meranap agenda Melayu. Tulisan itu lebih kepada retorik, menggunakan cara halus untuk merendah-rendahkan kepimpinan kerajaan secara melulu," katanya.
Sementara itu, menurut laman web The Star, Tunku 'Abidin malam ini meminta maaf secara terbuka berhubung artikelnya mengenai lintah di PWTC yang mencetus suasana kurang senang di kalangan pemimpin UMNO.
Menurutnya, artikel itu telah dijelaskan secara analogi kepada 'beberapa individu' tetapi malangnya terdapat pihak yang menganggap komen itu ditujukan kepada semua perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO itu.
"Saya ingin memohon maaf di atas salah faham terhadap artikel saya mengenai lintah-lintah di PWTC minggu ini.
"Sesiapa yang pernah membaca artikel saya dalam tempoh tiga tahun ini akan tahu bahawa saya sangat kagum dan amat menghormati pemimpin UMNO," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

No comments:

Post a Comment