Saturday, January 21, 2012

10 tahun menetap dipondok


Pondok

KAMUNTING – “Sudah 10 tahun saya sekeluarga berteduh di rumah berdindingkan kanvasdan papan terpakai ini,” luah ibu kepada empat cahaya mata, Faiza Salim, 36.
Faiza berkata, dia bersama suami dan tiga anak menetap di pondok berkenaan di Kampung Kurnia Jaya tanpa bekalan air dan elektrik.
Menurutnya, pondok itu dibuat sedikit demi sedikit dengan papan terpakai yang hanya menempatkan tempat tidur yang dikongsi lima beranak itu.
“Anak sulung yang kini belajar di Tingkatan Lima tinggal di rumah neneknya di Kampung Expo.
“Tiga lagi anak tinggal bersama saya di sini. Kami sekeluarga hanya bergantung semata-mata kepada pendapatan suami sebagai pemandu lori untuk menyara kami sekeluarga,” katanya.
Fariza berkata, dia tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
“Saya perlu menyiapkan segala kerja rumah kerana tiada bekalan elektrik, yang mana semuanya perlu dilakukan secara manual.
“Manakala, air hujan menjadi sumber air saya sekeluarga untuk menguruskan kerja-kerja rumah, dan sekiranya kekurangan air, saya terpaksa meminjam daripada jiran,” katanya.
Katanya, baru-baru ini, ada seorang individu yang bermurah hati membina bilik air baru kepada mereka sekeluarga.
Tambahnya, sebelum ini, ada kakitangan dari Pejabat Daerah yang datang berjumpa dengan suami untuk bertanya sama ada mereka mahukan rumah Mesra Rakyat atau tidak, bagaimanapun selepas itu, tiada lagi perkembangan mengenainya.
“Saya sangat berharap ada bantuan dari mana-mana pihak untuk membantu kami membuat permohonan rumah agar kami juga mendapat tempat perlindungan yang lebih baik dan sempurna,” katanya.

No comments:

Post a Comment