Thursday, January 19, 2012

‘Adalah sebab tu agaknya...’

SHAH ALAM: “Emmm, adalah sebab tu agaknya, hehe,” kata Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dalam nada tertawa kecil ketika mengulas berhubung tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat keputusan drastik mengambil alih sebahagian portfolionya.
Dr Hasan yang digugurkan jawatan sebagai Exco negeri selepas beliau dilucutkan keahlian Pas sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor. Bagaimanapun, Dr Hasan ketika dihubungi semalam enggan mengulas lanjut berhubung tindakan terkini Abdul Khalid itu dan berkata hanya akan menjelaskan dalam siaran akhbar atau sidang media sama ada hari ini atau dalam tempoh terdekat.

“Adalah lebih baik saya jawab dengan lebih teratur dalam siaran akhbar atau sidang akhbar,” katanya.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi menggantikan Dr Hasan sebagai Exco tetapi bukan bagi portfolio yang dikosongkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu dilihat memberi tamparan hebat kepada parti berkenaan.

Malah, keputusan meletakkan portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam di bawah bidang kuasa Menteri Besar seolah-olah menunjukkan Abdul Khalid tidak mempercayai wakil rakyat Pas mengetuai portfolio itu. Rombakan kecil Exco membabitkan portfolio yang pernah disandang Dr Hasan selaku wakil Pas ketika itu turut mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan beberapa pihak yang tegas dalam memartabatkan agama Islam di negeri ini.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (GPSS), Dr Ibrahim Ghaffar, turut mempersoalkan kewibawaan Abdul Khalid dalam mengemudi portfolio berkaitan agama Islam negeri.


Beliau berkata, pihaknya ragu-ragu kewibawaan Abdul Khalid kerana sebelum ini terbukti beliau tidak pernah memihak kepada kepentingan agama Islam, terutama membabitkan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, pada 3 Ogos tahun lalu.

“Sukar untuk saya percaya yang Abdul Khalid boleh melaksanakan tugasnya bagi portfolio membabitkan agama Islam dengan jujur, ikhlas, tegas dan tidak memihak kepada kepentingan politik. Ia kelihatan seperti mempersendakan tokoh Pas sendiri,” katanya.

Seorang lagi pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan keputusan memisahkan hal ehwal Islam dan adat-adat Melayu tidak bijak kerana kedua-dua aspek itu amat berkait rapat.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin, tindakan itu juga dianggap sebagai Menteri Besar ‘gila kuasa’ kerana sudah banyak portfolio yang dipegangnya ketika ini.

No comments:

Post a Comment