Tuesday, January 3, 2012

Blog fitnah polis cederakan penuntut universiti disiasat

Berita Harian Online | Blog fitnah polis cederakan penuntut universiti disiasat: KUALA LUMPUR: Polis akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan berunsur fitnah dalam beberapa blog berhubung isu penuntut universiti dipukul polis dalam satu perhimpunan haram di Perak, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata polis juga mempunyai bukti yang kukuh untuk menyangkal fitnah yang dilemparkan itu.
"Semasa perhimpunan haram itu, beberapa jurugambar dan jururakam polis ditugaskan untuk merakamkan kejadian tersebut sebagai bukti polis tidak menggunakan kekerasan termasuk mencederakan mana-mana penuntut.
"Oleh itu, saya mengarahkan satu kajian dilakukan pasukan khas tersebut bagi menunjukkan dakwaan yang dilemparkan itu adalah tidak benar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan yang dibuat dalam blog tersebut terbukti palsu, polis akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tuduhan memfitnah pasukan keselamatan tanpa usul periksa tidak berulang.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, siasatan menunjukkan klinik yang dirempuh kumpulan penuntut dalam perhimpunan haram tersebut mengalami kerosakan dianggarkan mencecah RM10,000.

Polis sebelum ini menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan haram anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan Ambang Tahun Baru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, awal pagi semalam.
Kira-kira 70 penuntut beberapa universiti dilaporkan berhimpun secara haram di pekarangan UPSI atas alasan menuntut kebebasan akademik dengan menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Selain itu, mereka mendesak agar penuntut UPSI, Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan bendera tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat UMNO pada 17 Disember lalu, tidak dikenakan tindakan tatatertib oleh pentadbiran universiti berkenaan. - BERNAMA

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment