Nur Amalina Che Bakri

SENAI – Belum pun reda isu kononnya pelajar genius, Nur Amalina Che Bakri mengalami kejutan budaya, gadis 23 tahun itu itu dieksploitasi pula menerusi akaun Facebook palsu.

Kehadiran akaun palsu itu, dikesan aktif pada 2 Januari lalu, selepas Nur Amalina menutup akaunnya.
Ibunya, Sabariah Hassan, 52, menyedari mengenai akaun palsu tersebut, selepas dimaklumkan Amalina menerusi Skype.
“Ada dua akaun menyamar menggunakan nama Nur Amalina Che Bakri dan Amalina Che Bakri.
“Saya beri amaran kepada penyamar untuk menutup akaun ini dalam tempoh tiga hari. Jika tidak, saya laporkan kepada polis untuk tindakan undang-undang.
“Memang saya kesal, memainkan nama dan maruah anak saya”, katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Sabariah tidak mahu orang ramai keliru kerana anaknya kini, tidak lagi mempunyai akaun Facebook, selepas insiden gambar peribadinya dimuat turun ke laman web dan didakwa liar, selain gagal dalam pelajaran.
Nur Amalina menjadi sebutan berikutan kejayaannya memperoleh 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik negara.
Bagaimanapun, isu peribadi beliau menjadi bualan, selepas tersebar gambar menunjukkan beliau tidak memakai tudung, mewarnakan rambut dan kononnya kelihatan ‘liar’, berbanding imejnya sebagai pelajar pada tahun 2005.
“Ina seorang penyabar dan baik. Saya tidak mahu berita mengenainya disensasikan, biarpun saya yakin ia tidak akan menggugat pengajiannya.
“Saya kesalkan, mengapa dia diperlakukan sebegitu? Apa kesalahannya?,” katanya.
Sabariah berkata, akaun Facebook dengan nama Nur Amalina Che Bakri telah lama wujud, namun ia hanya mengambil keratan akhbar kejayaan anaknya.
Namun, akaun menggunakan nama asal Nur Amalina sebelum ini yang telah memaparkan gambar peribadinya.
Nur Amalina sedang menyambung pelajaran di Universiti Edinburgh, Scotland, di dua bidang ijazah, iaitu perubatan dan sains farmakologi, ditaja sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia dan bakal menamatkan pengajiannya November tahun depan.