Abu-Bakar-Abdullah

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah menyifatkan kritikan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali terhadap parti itu tidak bermakna kepada parti.

Menurutnya, sebagai pemimpin yang telah dipecat keahlian, Hasan hanya dianggap sebagai orang luar dan dakwaan beliau tidak akan diambil kira.

Beliau mendakwa, Pas pernah melalui saat-saat getir berbanding dakwaan Hasan bahawa terdapat sekumpulan ‘parasit’ yang wujud dalam parti itu.

“Biarkanlah apa yang dikatakan oleh Hasan kerana kita pernah melalui saat-saat lebih dahsyat. Alhamdulillah, Pas terus berkembang dan mendapat sambutan yang baik daripada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali membayangkan beliau tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya, biarpun diberi peluang sehingga 7 Februari depan.

Hasan berkata, beliau tidak kesal dengan pendirian tersebut selepas merasakan perjuangan di dalam Pas dikhianati khususnya oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain.

Abu Bakar berkata, walau apa pun dakwaan ‘pihak luar’ mengenai Pas, parti itu sehingga kini mampu bertahan dan dapat bersaing dengan parti-parti lain untuk mengukuhkan kedudukannya dalam negara.

Hasan juga katanya, dilihat tidak memberi apa-apa kesan kepada parti atau penyokong Pas sendiri kerana pemimpin tersebut sudah pun dilucutkan keahliannya baru-baru ini.

Beliau yang turut menyifatkan dakwaan Hasan sebagai tidak berasas berkata, tuduhan pihak luar terhadap parti tidak akan diambil kira dan Pas sendiri lebih menghormati jemaah dengan menyelesaikan masalah bersama, bukannya di pentas musuh.

Sementara itu, beliau menganggap pelucutan keahlian Hasan adalah sebagai ‘penapisan’ untuk memastikan hanya mereka yang yakin dalam perjuangan sahaja bersama-sama dengan Pas.

“Dalam sejarah perjuangan Pas, pimpinan silih berganti dan (apa yang berlaku kepada Hasan) adalah penapisan dalam parti untuk memilih mereka yang yakin dalam perjuangan.

“Soal orang yang mahu tinggalkan perjuangan adalah sikap tidak istiqamah. Bagi Pas, apa-apa keputusan parti kena patuh dan taat. Itulah menunjukkan ahli-ahli terdidik dan istiqamah dalam perjuangan,” katanya.

Berhubung pengundi atas pagar, beliau berkata keputusan parti memecat Hasan tidak sesekali melemahkan sokongan sebaliknya pengundi-pengundi tersebut menghormati dan konsisten terhadap Pas.