Tuesday, January 24, 2012

NFCorp dakwa kekeliruan entiti dalam laporan audit Ketua Audit Negara


January 23, 2012

KUALA LUMPUR, 23 Jan - Pengerusi Fidlot Nasional Corp (NFCorp) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail hari ini berkata, entiti perniagaan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara mengalami kecelaruan bukanlah NFCorp.

Menurutnya, pihak pengaudit telah terkeliru antara NFCorp, sebuah syarikat persendirian, dengan Pusat Fidlot Nasional (NFC), syarikat kepunyaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Berlaku kekeliruan terhadap dua entiti berkenaan. NFC merupakan syarikat kepunyaan kerajaan, dan NFCorp merupakan entiti perniagaan keluarga kami," katanya kepada The Malaysian Insider dalam perbualan telefon dari Mekah.

"Itu merupakan tindakan yang tidak menguntungkan syarikat, kepada kami, dan isteri saya kerana Ketua Audit melaporkan berkenaan jabatan kerajaan, bukan berkenaan syarikat.

Bila ditanya mengapa beliau tidak mengesahkan berkenaan perkara itu sebelum ini, Salleh menjelaskan pihaknya hanya menyedari timbulnya kekeliruan itu apabila penyiasatan dilakukan terhadap NFC dan NFCorp.

Tambahnya, adalah tidak adil media memburukkan NFCorp dan isterinya, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang turut di libatkan ke dalam kontroversi tersebut.

"Kami berusaha untuk meningkatkan sosio-ekonomi sepertimana yang dilakukan kerajaan, dan ianya memang tidak adil untuk menyerang isteri saya kerana beliau tidak terlibat berkenaan projek tersebut," katanya.

Ibrahim yang merupakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa semalam mendesak Ketua Audit Negara mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan isu kontroversi skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) tidak berada dalam keadaan bercelaru.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian selepas perjumpaan dengan Pengerusi NFCorp, Datuk Mohamad Salleh Ismail dan 11 anggota NGO lain, dan beliau turut menjelaskan pejabat ketua audit telah mengesahkan tidak berlaku sebarang kecelaruan dalam syarikat tersebut.

Tambah Ibrahim, pejabat ketua audit mungkin telah melakukan sedikit kesilapan kerana tidak kesemua kakitangan pejabat terbabit mendapat latihan secukupnya.

Skandal NFC telah menjadi topik hangat tahun lepas apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati terdapat kecelaruan terhadap projek ternakan lembu yang diuruskan keluarga Shahrizat itu.

Semenjak itu, beberapa siri pendedahan telah dibuat PKR, termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan pertuduhan menggunakan dana berkenaan untuk kegunaan peribadi keluarganya.

Pembangkang turut mendakwa keluarga Shahrizat menggunakan hampir RM600,000 daripada dana NFC untuk membayar hutang kad kredit mereka pada 2009.

Namun demikian, NFCorp menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbelanjaan kad kredit tersebut digunakan hanya untuk tujuan perniagaan.

Syarikat itu turut menafikan dakwaan dan tuduhan dana RM250 juta itu dimasukkan ke dalam akaun mereka sebelum perjanjian pinjaman berkenaan ditandatangani.

Shahrizat telah memohon cuti selama tiga minggu kepada perdana menteri selepas pendedahan bukti terbaru rasuah dalam projek NFC.

Timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas mengumumkan kerajaan akan melantik firma audit untuk menyemak dan mengaudit akaun NFC.

Main - Bahasa - NFCorp dakwa kekeliruan entiti dalam laporan audit Ketua Audit Negara @ Mon Jan 23 2012:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment