Sunday, January 8, 2012

Pengawal peribadi Wan Azizah cedera




2012/01/08

BUKIT MERTAJAM: Pengawal peribadi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, cedera di tangan kiri dipercayai dicucuk dengan objek tajam dalam satu ceramah di Cheruk Tok Kun, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Azman Abd Lah, berkata Fayyadh Afiq Albakry Jaafar Sidek, 26, kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini dan berada dalam keadaan stabil.
"Mangsa mendakwa tangannya dicucuk benda tajam ketika mengiringi Wan Azizah ke pentas untuk memberi ceramah di Galeri Pejuang di situ, pada kira-kira 10 malam tadi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, dalam sidang akhbar berasingan selepas melawat Fayyadh Afiq di HSJ, berkata polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan.

Katanya, HSJ turut menubuhkan pasukan khas perubatan bagi mengetahui punca sebenar dan tahap kecederaan yang dialami mangsa.

Pasukan itu yang diketuai Pengarah HSJ, Dr Azlina Mohd Radzi; Pakar Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor; dan Pakar Perubatan Dalaman HSJ, Dr Teoh Guik Lee, turut hadir pada sidang akhbar itu.

Ayub berkata: "Pemeriksaan (oleh pasukan perubatan) hari ini mendapati terdapat calaran sepanjang 0.4 sentimeter pada tapak tangan kiri, bagaimanapun tiada sebarang kesan sampingan daripada calaran itu pada organ lain...keadaan beliau stabil.
"Pihak hospital sudah mengambil (sampel) darah dan air kencing beliau untuk ujian di Jabatan Kimia, keputusannya akan diketahui esok".

Ayub berkata, pemeriksaan perubatan mendapati tiada kesan atau tanda-tanda mangsa diracun atau disuntik dengan dadah sepertimana yang dilaporkan dalam beberapa blog.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar tampil membantu siasatan polis.

Fayyadh Afiq yang berasal dari Seberang Jaya, di sini, ketika ditemui di HSJ, berkata beliau tidak pasti bagaimana tapak tangannya dicederakan kerana ketika kejadian orang sangat ramai dan keadaan kelam kabut. - BERNAMA Berita Harian Online | Pengawal peribadi Wan Azizah cedera:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment