Saturday, January 14, 2012

Penyanyi Saida, bekas suami dipanggil ke mahkamah


KUALA LUMPUR 13 Jan. - Penyanyi Saida dan bekas suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Zikri dipanggil ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini untuk semakan kehakiman berhubung penceraian mereka secara khuluk (tebus talak) pada Oktober tahun lalu.

Pasangan itu dipanggil semula berikutan terdapat satu terma penceraian iaitu 'lafaz talak bain sughro' (lafaz cerai tidak boleh dirujuk melainkan akad nikah baru) tidak dinyatakan ketika lafaz khuluk dibuat pada prosiding cerai sebelum ini.

Dalam prosiding tertutup di hadapan Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain hari ini, dimasukkan terma penceraian 'lafaz talak bain sughro', yang turut dihadiri oleh bekas pasangan suami isteri berkenaan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan yang mewakili kakak penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza itu ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah.

Pada 7 Oktober 2011, lafaz khuluk yang berjumlah RM1,000 dilakukan oleh wakil Mohd. Ghazali melalui badan hakam (penimbangtara) itu terhadap artis wanita berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd. Suhaily Rosdi.

Mohd. Suhaily ketika itu merekodkan penceraian tersebut selepas beliau mendapati badan hakam yang dilantik oleh mahkamah gagal mendamaikan pasangan tersebut.

Badan hakam itu diwujudkan untuk kali ketiga setelah dua jawatankuasa yang dilantik oleh Saida dan Mohd. Ghazali sebelum ini turut gagal mencari jalan penyelesaian krisis rumah tangga pasangan terbabit.

Sebelum itu, desas-desus keretakan rumah tangga bekas peserta Akademi Fantasia keenam (AF6) itu terjawab apabila artis wanita terbabit memfailkan permohonan penceraian secara baik terhadap Mohd. Ghazali pada 26 Oktober 2010.

Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin dan Mohd. Ghazali bernikah pada 14 Disember 1996 di Kuala Lipis dan dikurniakan empat anak iaitu Siti Nurunnyssa, 13, Anas, 11, Khalid, 7, dan Siti Nurul Mashitah, 4.

Selepas prosiding selesai, Saida, 36, yang mengenakan tudung sedondon dengan warna baju Melayu hitam yang dipakai bekas suaminya, Mohd. Ghazali, 41, dilihat keluar dari pintu mahkamah secara berasingan pada pukul 10 pagi.

Mohd. Ghazali merupakan bekas juru kaji bumi yang kini seorang ahli perniagaan diwakili peguam syarie, Amli Embong.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment