Wednesday, February 15, 2012

Ibu uzur rayu anak hilangkan diri pulang segera

SUNGAI PETANI - Seorang ibu merayu anak lelakinya yang sudah sembilan tahun menghilangkan diri supaya pulang ke pangkuan keluarganya.

Che Nen Saad, 61, dari Kampung Jerung Atas di Jalan Kuala Ketil dekat sini merayu anaknya Mohamad Zamri Imandin, 35, agar melupakan kisah lama dan segera pulang.

Mohamad Zamri merupakan bekas graduan jurusan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Che Nen berkata anak ketiganya dari tujuh beradik itu menghilangkan diri sejak 2003 selepas berlaku perselisihan faham dengan abang sulungnya Mohamad Zaini, 40.

"Kali terakhir saya jumpa dia masa saya pergi ke pejabat wakil rakyat di sini selepas sebulan dia keluar rumah. Itupun secara kebetulan dan tidak sempat bersembang.

"Saya dapat tahu dia kerja di situ. Bila saya pergi nak jumpa dia, dia tidak ada pula," katanya yang kini mengidap sakit jantung.

Sejak itu Che Nen berkata dia dan suaminya Imandin Abdullah, 71, serta saudara mara mereka yang lain gagal menemui Mohamad Zamri.

Dia berkata anaknya turut dikatakan sedang bekerja di Dubai, tetapi tidak tahu sejauh mana kebenarannya.

"Saya merayu dia supaya balik, adik-beradik dia yang lain kerap tanya tentang dia sekarang," katanya.

Orang ramai yang mengetahui lokasi Mohamad Zamri berada atau pernah bertemu dengannya diminta supaya menghubungi Imandin di talian 019-4713736 atau Che Nen di 016-4064348. - Bernama

Ibu uzur rayu anak hilangkan diri pulang segera - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment