Lagi kepala babi ditemui di masjid

SHAH ALAM - Pas Selangor mengarahkan ahli-ahlnya menganjurkan solat hajat memohon agar insiden meletakkan anggota babi di kawasan masjid tidak berulang selepas umat Islam dikejutkan dengan dua kejadian berturut-turut di negeri itu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur minggu ini.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, langkah itu telah disampaikan kepada ahli-ahli di peringkat negeri, kawasan dan cawangan parti itu.

"YB Pesuruhjaya Selangor (Dr Rani Osman) telah mengarahkan ahli-ahli Pas agar menganjurkan solat hajat memohon agar insiden ini tidak merebak dan menimbulkan huru-hara," kata beliau dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Barisan Nasional (BN) Selangor menawarkan wang tunai RM18,000 bagi mengesan pihak-pihak yang meletakkan kepala babi dan beberapa anggota lain di kawasan dua masjid iaitu Masjid Nurul Iman di Rawang dan Masjid Al-Hidayah, Sentul.

Sehari sebelum itu, Kerajaan Selangor juga menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat yang sahih berhubung pihak yang melakukan perbuatan itu.

Khairudidn berkata, Pas Selangor menyambut baik tawaran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memberi RM10,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat tentang pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Pas Selangor mengarahkan ahli-ahlinya supaya membantu memantau masjid-masjid dan surau-surau agar peristiwa ini tidak berulang.

"Kita tahu ada orang yang cuba melakukan provokasi perkauman di Selangor dan ahli-ahli kita tidak mudah termakan provokasi ini. Kita mahu ahli-ahli kita cari siapa dalang di sebalik insiden ini," katanya lagi.

Khairuddin menambah, pihaknya mengarahkan ahli-ahli Pas membantu menjaga kesucian masjid dan surau.