Tuesday, March 27, 2012

Demonstrasi kenaikan harga minyak di Jakarta

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Polis menghalang tindakan kumpulan mahasiswa menyekat laluan sebuah trak membawa petrol milik syarikat minyak Pertamina, semasa satu bantahan menentang cadangan kerajaan menaikkan harga bahan api di Bondowoso, semalam. - AFP


JAKARTA 26 Mac - Polis Jakarta meminta bantuan 8,000 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk mengawal keselamatan di ibu negara ini menjelang tunjuk perasaan besar-besaran yang dijadual berlangsung esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar.
Dengan gabungan askar TNI dan anggota polis Jakarta, sejumlah 22,000 anggota pasukan keselamatan akan ditugaskan untuk berkawal semasa protes itu, menjelang kenaikan harga bahan bakar yang dijadual dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 1 April ini.
"Tentera Nasional Indonesia (TNI) tidak akan bersemuka dengan orang ramai, tetapi akan berkawal di sekitar objek-objek penting," kata jurucakap Polis Jakarta, Komander Kanan Rikwanto, di sini hari ini.
'Objek penting' yang dimaksudkannya termasuk pelabuhan, lapangan terbang dan jalan bertol.
Polis menerima laporan sekurang-kurangnya 8,000 penunjuk perasaan sudah bersedia untuk melancarkan protes di sini esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar.
Bagaimanapun angka sebenar dijangka jauh lebih besar kerana kesatuan sekerja dan pertubuhan pelajar sudah berikrar akan menyertai demonstrasi itu esok.
Kemungkinan besar mereka akan tertumpu di kawasan protes yang biasa diadakan iaitu di bulatan lalu lintas di Hotel Indonesia dan Istana Presiden di Jakarta Tengah, serta kompleks Parlimen di Jakarta Barat.
Kerahan askar TNI bagi mengawal tunjuk perasaan, yang mula dilancarkan ketika kerajaan mengumumkan pelan kenaikan harga bahan bakar pada awal bulan lepas, mencetuskan pelbagai kritikan termasuk daripada ahli Parlimen dan pemerhati politik.
"Kami berharap protes akan diadakan secara aman dan jika orang ramai berasa bimbang mengenai kemungkinan meletusnya kekacauan, mereka boleh melaporkannya kepada polis," ujar Rikwanto. - AGENSI

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment